ROBOT Ninja digunakan di empat hospital di Thailand bagi membantu doktor serta jururawat merawat pesakit Covid-19.
ROBOT Ninja digunakan di empat hospital di Thailand bagi membantu doktor serta jururawat merawat pesakit Covid-19.
Agensi

HOSPITAL di Thailand menggunakan ‘robot ninja’ untuk menyukat suhu badan dan melindungi petugas kesihatan barisan hadapannya, dalam usaha mengawal penularan Covid-19.

Channel News Asia melaporkan, robot itu pada awal pembuatannya adalah untuk membantu pesakit angin ahmar, namun peranannya ditukar segera untuk mengekang penyakit bawaan koronavirus yang sudah meragut lebih 10,000 nyawa seluruh dunia.

Robot itu kini membantu petugas di empat hospital di Bangkok dan sekitarnya untuk mengurangkan risiko jangkitan apabila doktor dan jururawat hanya perlu berkomunikasi dengan pesakit menerusi video.

Viboon Sangveraphunsiri dari Unversiti Chulalongkorn memberitahu AFP, pesakit ditempatkan di dalam bilik khas manakala doktor serta jururawat akan berkomunikasi menggunakan robot sebagai perantara.

“Mereka (doktor dan jururawat) berada di luar bilik menempatkan pesakit manakala robot digunakan untuk berkomunikasi secara capaian video,” katanya.

Bagi model seterusnya, beliau bersama pasukan mereka bentuk robot yang boleh menghantar ubat dan makanan kepada pesakit selain membersihkan wad.

Sehingga kini, robot ninja itu giat dibangunkan bagi memenuhi keperluan untuk sekurang-kurangnya 10 lagi hospital di seluruh Thailand.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 7:00 AM