ROBOT beri nasihat atasi covid-19
ROBOT beri nasihat atasi covid-19
Agensi

Tokyo: Robot diberi nama Pepper mampu membaca emosi manusia, berinteraksi, memberi amaran dan kata-kata perangsang ditempatkan di sebuah hotel Jepun yang menempatkan pesakit gejala ringan Covid-19.

Philstar melaporkan inisiatif itu hasil kerjasama kerajaan tempatan dengan pihak hotel dalam usaha memastikan keselamatan pesakit yang dipindahkan sementara ke hotel itu bagi mengurangkan kesesakan hospital.

"Kamu tak boleh melawan koronavirus dengan perut kosong. Sila makan untuk kekal sihat," antara suara Pepper ketika berinteraksi dengan pesakit.

Robot itu dihasilkan SoftBank Robotics.

Pengarah Pemasarannya, Kan Kiyota berkata, kemudahan itu menggantikan tenaga kerja manusia berikutan pesakit Covid-19 tidak boleh berinteraksi dengan orang lain.

"Oleh kerana pesakit dijangkiti virus ini tidak mungkin dapat berinteraksi dengan orang lain, jadi ini fungsinya robot," katanya.

Kerajaan Tokyo bekerjasama dengan lima hotel untuk menggunakan 2,800 bilik pesakit namun hanya 200 bilik digunakan setakat ini.

"Pesakit dikuarantin dua minggu, jadi kita guna robot sebagai penyambut tetamu untuk bantu pesakit rasa lebih selesa," kata jurucakap kerajaan Tokyo, Naoko Kubota.

Hotel berkenaan turut menggunakan khidmat robot bagi tugas membersih dan mencuci.

Bagaimanapun, tugas penjagaan kesihatan dan pemantauan suhu dan oksigen pesakit tetap dilakukan doktor dan jururawat bertauliah.

Setakat semalam, negara itu merekodkan 15,477 kes positif Covid-19 dengan 577 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 6:31 AM