Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memantau pesakit Covid-19 yang sudah sembuh bagi mengelak daripada berlaku jangkitan berulang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bekas pesakit itu turut dimaklumkan mengenai kemungkinan itu.

Namun beliau menjelaskan kemungkinan untuk pesakit Covid-19 dijangkiti semula, peratusannya sangat rendah.

“Bekas pesakit perlu menjalani sesi kaunseling bagi memastikan mereka mematuhi penjarakan sosial, sering mencuci tangan dan mengelak menghadiri mana-mana himpunan awam.

“Mereka boleh dijangkiti semula. Adakalanya antigen negatif tetapi antibodi tak mencukupi untuk mereka.

“Antibodi tidak semestinya melindungi setiap masa. Peratusan jangkitan semula mungkin tidak tinggi, jadi kita harap mereka cegah dari dijangkiti,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

PETUGAS kesihatan terdiri dari doktor dan jururawat mengambil sampel pesakit didalam wad yang menempatkan pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PETUGAS kesihatan terdiri dari doktor dan jururawat mengambil sampel pesakit didalam wad yang menempatkan pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Bagaimanapun, katanya, pemantauan ke atas pesakit bukan warga tempatan yang sembuh akan dimaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan negara masing-masing melalui International Health Regulations (IHR).

KKM hari ini merekodkan 222 kes pulih dan dibenarkan keluar dari wad, menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 1,830 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 8:17 PM