SETIAUSAHA Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. FOTO ASYRAF HAMZAH.
SETIAUSAHA Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa. FOTO ASYRAF HAMZAH.
Yusmizal Dolah Aling


PERLU tangguh dua bulan. Itu cadangan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengenai sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula Isnin ini.

Beliau berkata, perkara penting seperti pembentukan Kabinet serta pelantikan Speaker Dewan Rakyat perlu diselesaikan terlebih dulu oleh kerajaan baharu dan sudah tentu ia memerlukan lebih masa.

Menurutnya, perkara itu wajar dilakukan kerana ketika zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah, sidang Parlimen hanya berlangsung selepas dua bulan pembentukan kerajaan.

“Banyak perkara perlu disempurnakan kerajaan sebelum Parlimen bersidang. Ia membabitkan pembentukan Kabinet, pencalonan Speaker, soalan Ahli Parlimen dan jawapan kerajaan dan lain-lain.

“Saya lihat mustahil tarikh ditetapkan kerajaan lama (9 Mac) dapat diteruskan. Apapun, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) perlu memberi notis baharu kepada Speaker.

“Kerajaan baharu memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum boleh bersidang. Tidak mustahil kita bersidang semasa puasa atau selepas Aidilfitri,” kata menerusi Twitter, hari ini.

Mengikut Takwim Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 2020, Dewan Rakyat dijadual bersidang tiga kali dengan yang pertama diadakan Isnin ini.

Mesyuarat kedua dijadualkan pada 20 Julai hingga 27 Ogos iaitu selama 21 hari dan mesyuarat ketiga selama lebih sebulan iaitu 28 September hingga 19 November depan.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan satu sidang khas Pi parlimen akan diadakan 2 Mac bagi membolehkan ahli Dewan Rakyat mengundi untuk memilih siapa Perdana Menteri yang baharu.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memutuskan bahawa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dicadangkan itu tidak akan berlangsung kerana Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim, tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11 (3) kerana tidak disusuli Pemberitahuan Usul yang lengkap.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 5:33 PM