ANNUAR menerima kunjungan rombongan MCA yang diketuai Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon Di Ibu Pejabat UMNO , Menara Datuk Onn. FOTO Amirudin Sahib
ANNUAR menerima kunjungan rombongan MCA yang diketuai Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon Di Ibu Pejabat UMNO , Menara Datuk Onn. FOTO Amirudin Sahib
Yusmizal Dolah Aling


PERIKATAN Nasional (PN) akan menubuhkan satu sekretariat terdiri daripada Setiausaha Agung parti gabungan untuk menyelaraskan hala tuju parti berkenaan dan kerajaan.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini satu pertemuan tidak rasmi sudah pun diadakan untuk tujuan itu dan dengan adanya sekretariat itu nanti, ia akan memudahkan urusan parti merangka pelan membantu kerajaan menangani isu rakyat.

Katanya, ia turut disertai Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun pada masa ini parti itu memerlukan sedikit masa berhubung siapa yang akan menjadi setiausaha.

“Ya Bersatu juga akan berada dalam sekretariat ini. Tapi buat masa ini, mereka memerlukan sedikit masa kerana mungkin ada pertukaran Setiausaha Agung,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama MCA di Pusat Dagangan Dunia (PWTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon dan Ketua Pemuda MCA Nicole Wong.

Annuar berkata, mesyuarat sekretariat terbabit akan diadakan setiap minggu dan ia adalah ruang untuk setiap parti untuk berbincang mengenai masalah rakyat.

Menyentuh mengenai pembentukan kabinet oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Annuar berkata, beliau perlu diberikan ruang untuk membuat keputusan mengenainya.

“Saya berpendapat Perdana Menteri perlu diberi ruang kerana ramai yang berkelayakan untuk berada di dalam kabinet,” katanya.

Ditanya mengenai tarikh sidang Dewan Rakyat yang ditetapkan pada 18 Mei hadapan, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, ia memerlukan masa yang cukup untuk menyelesaikan urusan kerajaan terlebih dulu selepas pembentukan kerajaan baru.

“Kita harus faham satu perkara sewaktu Pakatan Harapan jadi kerajaan perlu tunggu dua bulan. Kenapa jadi begitu, kerana ada urusan parlimen yang perlu diselesaikan seperti lantik Speaker kalau tukar kerajaan.

“Keduanya, ada soalan lisan yang perlu dihantar kepada parlimen. Ketiga, soalan itu perlu dihantar kepada kementerian untuk dijawab. Saya dah hitung tapi saya rasa mustahil untuk diadakan pada tarikh notis awal iaitu 9 Mac,” katanya.

Beliau berkata, agenda pelantikan Speaker tidak ada di dalam notis awal dan jika ada lantikan baru, ia juga mempunyai urusan tertentu.

“Adalah adil untuk ahli parlimen menghantar soalan dan untuk itu parlimen kena kemukakan notis baru. Ahli parlimen kena ikut perintah tetap dan jalur-jalur tertentu sebelum sidang parlimen.

“Kali terakhir parlimen bersidang pada 5 Disember lalu. Jadi ia perlu bersidang sebelum 5 Jun depan, saya fikir ia sudah diuruskan dengan tertib mengikut urusan kerajaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 4:05 PM