PERSIDANGAN Dewan Rakyat. FOTO Hiasan
PERSIDANGAN Dewan Rakyat. FOTO Hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


DEWAN Rakyat yang dijadualkan bersidang pada 9 Mac ditunda pada 18 Mei.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, perkara itu diputuskan oleh kerajaan melalui surat pemakluman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Majlis.

“Mesyuarat pertama Dewan Rakyat akan bersidang selama 15 hari bermula 18 Mei sehingga 23 Jun nanti.

“Namun, Dewan Rakyat tidak akan bersidang pada 26 hingga 28 Mei berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan pada 8 Jun bagi sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

“Mesyuarat kedua Dewan Rakyat pula akan bersidang selama 17 hari bermula pada 27 Julai sehingga 27 Ogos. Dewan Rakyat tidak akan bersidang pada 30 Julai kerana menyambut Hari Raya Aidiladha manakala 19 dan 20 Ogos (Awal Muharam),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohamad Ariff berkata, mesyuarat ketiga Dewan Rakyat dijadualkan bermula pada 28 September sehingga 26 November yang berlangsung selama 36 hari.

Beliau berkata, Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 oleh Perdana Menteri juga akan diadakan pada jam 4 petang, 2 Oktober.

“Saya mendapati ketetapan tarikh mesyuarat itu adalah selaras dengan Peraturan 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.

Justeru, katanya, semua ahli dewan akan menerima Notis Panggilan Mesyuarat daripada Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat.

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 sebelum ini dijadualkan bermula 9 Mac ini akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan mencadangkan supaya sidang Dewan Rakyat ditunda.

Katanya, perkara penting seperti pembentukan Kabinet serta pelantikan Speaker Dewan Rakyat perlu diselesaikan terlebih dulu oleh kerajaan baharu dan sudah tentu ia memerlukan lebih masa.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 1:23 PM