Maiamalina Mohamed Amin dan Amir Abd Hamid


"BAGI diri saya sendiri, tidak ada masalah. Sebab pada awal lagi saya sudah beritahu saya hanya akan keluar jika Perlembagaan Malaysia dipatuhi," kata bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof selepas mengosongkan jawatan itu, hari ini.

Beliau berkata, jelas bahawa Perlembagaan Malaysia sudah pun dipatuhi iaitu terdapat usul dan undian sudah dilaksanakan.

"Akhir kata Ahli Parlimen yang memutuskan, bukan Perdana Menteri, bukan Kabinet. Ini sistem Perlembagaan kita.

"Ini adalah sesuatu yang mesti dihormati secara prinsip iaitu mesti dinyatakan seorang Speaker itu adalah neutral, bebas dan tidak boleh dikompromi oleh pihak eksekutif.

"Saya sudah menyebut beberapa kali juga bahawa jawatan Speaker bukan jawatan pegawai khas untuk Kabinet atau Menteri atau Perdana Menteri. Kita mesti kekalkan jawatan Speaker sebagai satu jawatan yang neutral dan dihormati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada waktu rehat tengah hari bagi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang bermula hari ini.

Mohamad Ariff menegaskan Speaker dilantik oleh Parlimen yang dalam hal ini dilantik oleh Dewan Rakyat.

"Prinsipnya agak logik dan mudah difahami. Itu prinsip di sisi Perlembagaan Malaysia," katanya.

Terdahulu, usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan dengan 111 Ahli Parlimen menyokong usul berkenaan, manakala 109 Ahli Parlimen tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.

Undi diluluskan secara belah bahagian.

Usul itu dicadangkan Ahli Parlimen Pagoh yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dan disokong Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Berita berkaitan:

  • Azhar Harun Speaker baharu
  • Usul pengosongan kerusi Speaker lulus
  • Dewan Rakyat kecoh usul pengosongan kerusi Speaker Dewan Rakyat
  • Muhyiddin kemuka usul pengosongan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 3:51 PM