EMAS palsu yang didedahkan di Institut Metrologi Kebangsaan, Bandar Baru Salak Tinggi.
EMAS palsu yang didedahkan di Institut Metrologi Kebangsaan, Bandar Baru Salak Tinggi.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mahaizura Abd Malik


LOGAM tungsten berwarna putih yang berharga sekitar RM5,000 sekilogram mampu ditukar menjadi emas klon bernilai lebih RM200,000 selepas disadur.

Krisis emas klon ini bukan lagi isu terpencil apabila kajian dilakukan mendapati kebanyakan emas yang berada di pasaran dicampur besi tungsten.

Penipuan silap mata emas tiruan menggunakan logam tungsten yang bermula
20 tahun lalu jelas gagal dibenteras berikutan kekurangan alatan dan kepakaran untuk mengesannya.

Apa yang pasti, sehingga kini masih ramai pembeli emas tidak mampu membezakan di antara emas tulen dan tungsten yang kebiasaannya digunakan untuk menghasilkan aloi, filamen lampu dan barangan elektronik.

Walaupun Harian Metro pernah membuat pendedahan berkaitan penipuan ini pada Jun 2016 namun sehingga kini emas palsu ini masih dijual beli secara berleluasa.

Ketua Makmal Analisa Permukaan Kumpulan Kimia National Metrology Institute of Malaysia (NMIM) Sirim Berhad, Adlan Akram Mohamad Mazuki berkata, emas palsu ini dihasilkan dengan cara menyadurkan tungsten dengan lapisan nipis emas tulen.

Menurutnya, penipuan ini sukar dikesan mata kasar atau alat pengukur ketulenan emas berikutan ketumpatan logam tungsten hampir sama dengan emas 24 karat.

“Penipuan ini hanya boleh dibongkar jika permukaan emas itu dikikis atau emas itu dipotong. Malangnya, tindakan ini pastinya tidak dipersetujui pemilik emas berkenaan,” katanya.

Dia yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang ketulenan emas menggunakan X-Ray Fluorescence (XRF) memberitahu penipuan ini tidak hanya membabitkan rantai aatau cincin emas malah turut membabitkan kepingan serta jongkong emas diperbuat dari logam tungsten atau wolfram.

“Dalam mengekang isu penipuan ini, NMIM sebelum ini memperkenalkan Bahan Rujukan Standard Emas (MyRM Gold) bagi memastikan semua alat pengukur ketulenan emas berdasarkan Unit Sistem Antarabangsa (SI Units).

AHLI Metrologi, Fazrulhisyam Mohd Noor (kiri) bersama Adlan Akram (tengah) melihat  Noor Razinah Rahmat melakukan pengujian.
AHLI Metrologi, Fazrulhisyam Mohd Noor (kiri) bersama Adlan Akram (tengah) melihat Noor Razinah Rahmat melakukan pengujian.

“Langkah ini amat penting bagi semua alat pengukuran ketulenan emas di Malaysia mempunyai kebolehkesanan melalui kaedah tentukuran kepada satu piawaian saja iaitu MyRMGold.

“Bahan rujukan ini dibangunkan sendiri oleh NMIM pada penghujung tahun lalu. Institut ini dilantik sebagai Makmal Standard Pengukuran Kebangsaan di bawah Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 (Akta 675).

Menurutnya, NMIM mula memberi Sijil MyRM sejak Mac 2017 bagi alat tentukuran densimeter, tentukuran XRF, pengukuran ketumpatan emas dan pengukuran ketulenan emas sekaligus mampu mengesan penipuan ini.

ADLAN Akram menunjukkan antara mesin yang digunakan di NMIM.
ADLAN Akram menunjukkan antara mesin yang digunakan di NMIM.

Difahamkan kes penipuan emas klon ini turut gagal dibendung di negara jiran Thailand dan Vietnam apabila Gem and Jewellery Institute of Thailand (GIT) turut mengeluarkan amaran terhadap lambakan emas palsu ini.

Kegagalan mengesan besi tungsten ini menyebabkan ramai mangsa menyimpan emas rugi besar.

Sindiket biasanya mencampurkan emas klon ini bersama jongkong emas tulen, sekali gus menyukarkan kegiatan itu dikesan.

Malah krisis pemalsuan emas ini turut berlaku di Eropah apabila bank terkemuka di Switzerland turut mengesan jongkong emas bernilai 50 juta paun (RM267 juta) berada di dalam peti simpanan bank itu Ogos tahun lalu.

KAKITANGAN NMIM, Noor Razinah Rahmat melakukan eksperimen menggunakan alat pengujian emas.
KAKITANGAN NMIM, Noor Razinah Rahmat melakukan eksperimen menggunakan alat pengujian emas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 7:10 AM