Ahmad Sabirin Arshad (dua dari kanan)  menyaksikan demostrasi ujikaji ketulenan emas di makmal Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM di Bandar Baru Salak Tinggi. FOTO SAMADI AHMAD
Ahmad Sabirin Arshad (dua dari kanan) menyaksikan demostrasi ujikaji ketulenan emas di makmal Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), SIRIM di Bandar Baru Salak Tinggi. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Putrajaya: Seramai 400 pengusaha emas termasuk anggota Ar- Rahnu dilatih menjadi 'pakar emas' sekaligus mampu mengesan sebarang bentuk penipuan logam itu oleh sindiket tertentu.

Semua mereka ini menyertai Program Latihan Pengukuran Ketulenan Emas bagi memastikan jaminan kualiti pengukuran emas di negara ini mencapai tahap antarabangsa.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, program dianjurkan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) bermula sejak 2016 itu, membabitkan aktiviti dailog, kursus dan latihan selaras dengan Garis Panduan Aktiviti Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu).

Menurutnya, inisiatif program ini adalah bagi membantu industri memiliki tenaga kerja yang kompeten, profesional serta mempunyai kepakaran dalam pengukuran ketulenan emas.

Katanya, program latihan ini meliputi perkongsian amalan pengukuran terbaik industri emas berkenaan kaedah penggunaan peralatan pengukuran ketulenan emas.

"Inisiatif ini juga dapat menarik lebih ramai pengusaha baharu emas, sekaligus memberi keyakinan kepada pembeli yang sebelum ini ramai ditipu penjual," katanya tadi.

Ahmad Sabirin berkata, masyarakat mula sedar untuk memiliki emas yang bukan hanya sekadar perhiasan malah boleh dijadikan sebagai penyimpan nilai.

Katanya, sebelum ini pihaknya menerima banyak aduan dari pengguna yang ditipu penjual selepas membuat pemeriksaan.

"Keadaan sama berlaku apabila ada dikalangan pemilik yang baharu sedar ditipu ketika ingin membuat gadaian di Ar-Rahnu selepas bertahun-tahun memiliki barangan kemas itu melalui pemeriksaan ketulenan diadakan.

"Selain dapat memberi keyakinan kepada pengguna Latihan Pengukuran Ketulenan Emas ini dapat meningkat hasil penjualan pengusaha," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 3:16 PM