FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Anis Syuhada Mohd Rosli


'Melaram' tungsten

Kuala Lumpur: "Semakin banyak emas palsu atau klon wujud di pasaran dengan kebanyakannya dihasilkan menggunakan logam tungsten. Ia berdasarkan peningkatan kes diterima pemilik kedai emas daripada pelanggan," ujar pengusaha emas Fitrah Gold, Fitrah Ghazali.

Menurutnya, sejak pengeluaran khas simpanan RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan April lalu, ramai teruja untuk membeli emas atau menukar barang kemas dimiliki kepada reka bentuk lain.

"Kebanyakan pemilik emas palsu ini mendakwa membeli emas dari pihak ketiga yang menawarkannya pada harga murah.

"Antara reka bentuk popular menjadi pilihan penipu termasuklah emas buluh dan emas pintal. Bagi pakar barang kemas, kaedah kami mengenal pasti secara fizikal emas palsu adalah dengan melihat reka bentuk serta melihat warna di hujung barang kemas berkenaan.

"Selain itu kami akan buat ujian asid nitrik dan asid hidroklorik bagi menentukan ketulenan emas dari segi warna kerana emas tulen tidak terjejas atau tidak bertindak balas dengan kedua-dua asid berkenaan," katanya.

Menurutnya, logam tungsten adalah logam popular digunakan bagi 'penyamaran' emas kerana boleh menaikkan lagi berat barangan kemas.

"Logam tungsten sering digunakan untuk penghasilan emas klon kerana ketumpatannya hampir sama dengan emas tulen.

"Kekerapan menerima emas palsu daripada pelanggan menyebabkan peniaga emas kini amat berhati-hati," katanya.

Perkara sama turut diakui Pengurus Emas Faiz Cawangan Langkawi, Nur Izzat Izwan yang mendakwa kedainya menerima tiga hingga lima kes emas palsu dalam masa seminggu.

"Cara kenal pasti emas palsu ini adalah finishing (penghasilan) tidak kemas. Apabila ditekan dan dirasa dengan jari, 'emas' sangat keras jika dibanding dengan emas tulen.

"Biasanya kami mengujinya dengan meletakkan magnet. Emas tulen tidak melekat pada magnet namun ada emas palsu memberi reaksi pada magnet.

"Kami kemudian melakukan ujian ketulenan sekali sekali lagi di depan pemilik emas palsu ini menggunakan asid nitrik dan asid hidroklorik.

"Sejak kebelakangan ini, banyak emas palsu tidak melekat pada magnet. Namun ujian asid biasanya beri tindak balas apabila warna logam pada emas palsu akan kelihatan," katanya.

Dia berkata, berdasarkan pengalaman, rata-rata emas palsu diperbuat daripada logam tungsten dan tembaga.

"Bagi menguatkan lagi 'penyamaran' emas palsu ini disalut dengan warna emas sebenar," katanya.

Izzat Izawan menambah, kebiasaan emas palsu dijual pada harga jauh lebih murah berbanding pasaran.

"Ada juga menawarkan dua cincin percuma sebagai hadiah pembelian rantai palsu," katanya.

Sementara itu Pengurus Kedai Emas Suly Gold, Syamsul Fitri, berkata, penjual emas palsu biasanya muncul setiap kali musim perayaan atau ketika kedai dipenuhi pelanggan.

"Ketika orang ramai sibuk di kedai, mereka muncul dan cuba jual emas palsu.

"Biasanya mereka tergesa-gesa ketika berurusan bagi mengelak tuan kedai emas memeriksa ketulenan emas dimiliki.

"Untuk kenal pasti ketulenan emas, kebiasaannya emas tulen ada cop pada bahagian sangkut rantai atau gelang. Namun kini, ada emas palsu memiliki cop 916.

"Jika ketulenan gagal ditentukan, kaedah bakar sehingga cair adalah cara terakhir. Biasanya apabila 'emas' cair, barang kemas mudah disahkan ketulenannya. Namun, cara ini dilakukan atas keizinan tuan barang sahaja," katanya.

CONTOH emas palsu yang diterima di kedai Emas Faiz
CONTOH emas palsu yang diterima di kedai Emas Faiz

'Emas Syria' dicampur tembaga

Tidak hanya wujud emas palsu buatan China, malah ada juga emas palsu buatan Syria berlegar di pasaran kini.

Difahamkan emas Syria ini yang dihasilkan dalam pelbagai bentuk barang kemas kerap diniagakan di Timur Tengah sebagai hadiah perkahwinan.

Berdasarkan maklumat, emas Syria ini dihasilkan dengan menukar logam asas dan menggantikannya dengan campuran logam tembaga yang memberikan rupa emas asli.

Difahamkan emas palsu Syria berlegar luas di Turki menjadi pilihan pelancong asing kerana harga ditawarkan jauh lebih murah.

Timbalan Pengarah Termofizikal, Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim), Dr Mohd Fazrulhisyam Mohd Nor berkata, orang ramai terdedah dengan penipuan emas palsu di pasaran jika tidak berhati-hati.

"Penurunan harga emas pada masa ini menyebabkan orang ramai mengambil peluang untuk membeli barangan emas sama ada emas jenis bar atau barang kemas.

"Masyarakat kini mempunyai kesedaran dalam penyimpanan emas kerana ia aset kalis inflasi.

"Namun implikasi kepada permintaan tinggi ke atas barangan emas di pasaran menyebabkan sindiket penipuan emas turut aktif menjual emas palsu," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, bagi memastikan kepentingan pembeli emas terpelihara, Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), Sirim menyarankan beberapa panduan berguna kepada orang ramai bagi mengelak terbeli barangan emas palsu.

"Pertama semasa pembelian barang kemas, pastikan anda terima resit belian atau sijil barang kemas seperti termaktub di dalam Akta Perihal Dagangan (Akta 730)," katanya.

Beliau memaklumkan, jika pembekal menjual barangan palsu, pembeli mempunyai maklumat yang lengkap untuk buat laporan kepada pihak berkuasa.

"Kebiasaannya kebanyakan barangan palsu tidak mempunyai sijil dan akan menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk mengambil tindakan.

"Kedua, pembeli perlu memastikan produk dibeli sama seperti maklumat dinyatakan dalam resit atau sijil belian.Pembeli mempunyai hak untuk pastikan apa yang dibeli adalah betul.

"Maklumat penting adalah berat dan ketulenan barangan kemas. Justeru, penjual perlu menyediakan alat penimbang untuk memastikan berat barangan dibeli sama dengan berat timbangan dinyatakan dalam sijil," katanya.

Selain katanya, ketulenan barang kemas juga adalah maklumat yang amat penting bagi memastikan pembeli menerima barang kemas yang tepat dengan harga dibayar.

"Terdapat pelbagai jenis ketulenan emas yang dijual di pasaran seperti emas 999, 916, 850 dan 750.

"Ketulenan emas ini menunjukkan peratusan kandungan emas pada barang sebagai contoh emas 916 mempunyai 91.6 peratus kandungan emas pada barang kemas tersebut.

"Bagi menyemak nilai ketulenan barang kemas, pembeli boleh meminta pihak penjual menjalankan pengukuran ketulenan menggunakan densimeter. Densimeter adalah peralatan pengukuran emas yang mudah dan cepat tanpa merosakkan sampel emas.

"Menariknya lebih 90 peratus Ar Rahnu di Malaysia menggunakan densimeter semasa menjalankan transaksi pajak gadai," katanya.

Beliau berkata, panduan terakhir dan paling selamat adalah orang ramai boleh membeli barangan emas yang mendapat Pensijilan SIRIM Gold Hallmarking daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd.

"Pensijilan ini akan menilai, memantau dan seterusnya mengiktiraf setiap produk yang dihasilkan oleh pengeluar emas. Barangan emas yang mempunyai pensijilan SIRIM Gold Hallmarking perlu melalui pengujian ketulenan logam yang dijalankan oleh NMIM berdasarkan kaedah rujukan ISO 23345: 2021," katanya yang pernah mengetuai Kumpulan Logam Berharga seterusnya terbabit dengan pembangunan Standard Emas Malaysia dan membangunkan modul latihan kompetensi anggota kerja Ar Rahnu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 12:00 PM