SITI Zulaika bersama anak tunggalnya, Ena Anasyah di Unit Forensik Hospital Pontian. FOTO Togi Marzuki
SITI Zulaika bersama anak tunggalnya, Ena Anasyah di Unit Forensik Hospital Pontian. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki


Pontian: "Bangun pagi anak tunggal kami cari papanya di setiap ruang rumah, tapi papa sudah tiada," kata Siti Zulaika Maslee, 19, isteri kepada Muhammad Syah Rizal Jamaludin, 22, yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 5.7 Jalan Parit Semerah, Parit Kudus, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, tiga lelaki termasuk pemandu Proton Saga masing-masing berusia 22, 28 dan 58 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.

Seorang penumpang kereta sama berusia 35 tahun cedera di beberapa bahagian badan.

Siti Zulaika yang ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian, pagi tadi berkata, anak tunggal mereka Ena Anasyah yang berusia setahun sebelum ini cukup gembira setiap kali menunggu kepulangan bapanya.

Katanya, lebih menyedihkan semua ketiga-tiga mangsa yang maut itu ada kaitan persaudaraan.

"Sebelum kejadian mereka berempat selesai melawat saudara yang sakit di Kampung Parit Bengkok, Pontian.

"Dalam pada itu, mereka keluar ke bandar Pontian untuk membeli juadah berbuka puasa yang akan dinikmati di rumah saudara yang sakit namun tidak kesampaian akibat terbabit dalam kemalangan," katanya.

Siti Zulaika berkata, kehidupan dia dan anaknya akan berbeza kerana kehilangan insan tersayang yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Biasanya sebelum menjelang Aidilfitri, makan pakai seadanya disediakan ketika masih bersama suami, bagaimanapun dia sudah tiada, kami reda dengan ujian Allah," kata yang bekerja di syarikat pembersihan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Muhammad Shofee Tayib berkata, siasatan awal mendapati Proton Saga dari arah Parit Semerah ke Parit Kudus dipercayai hilang kawalan lalu bertembung Proton Perdana dari arah bertentangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 11:24 AM