FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pengguna boleh menarik nafas lega apabila bekalan dan harga bawang dilaporkan kembali stabil di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata hasil lawatan dan pemeriksaan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), pihaknya mendapati bekalan bawang mencukupi di pasaran sehingga Ogos ini.

Katanya, lawatan itu juga bertujuan memastikan bekalan bawang mencukupi bagi menampung permintaan pengguna sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sambutan Tahun Baharu Cina bulan depan.

"Pembekal bawang dari India mula mengeksport bekalan ke luar negara, khususnya ke negara ini selepas pulih daripada masalah banjir yang melanda negara itu baru-baru ini," katanya tadi.

Semalam, Alexander mengadakan lawatan kerja dan pemeriksaan perniagaan bawang ke sebuah premis perniagaan yang berperanan sebagai pengimport dan pemborong di Klang, Selangor, bertujuan memberi fokus keberadaan bekalan dan harga bawang.

Turuh hadir dalam lawatan, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dr Alauddin Sidal dan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam.

Alexander berkata, negara mengimport sebanyak 489,297 tan metrik bekalan bawang dari luar negara antara Januari sehingga Disember 2020.

Katanya, sebelum ini negara terkesan dengan kemasukan bawang dari negara pengimport kerana terdapat arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang.

"Langkah ini adalah bertujuan bagi menampung keperluan domestik dalamnegara ekoran bencana banjir yang berlaku sejak Julai 2020.

"Bekalan bawang di Malaysia diimport dari 24 buah negara dengan lima daripadanya adalah pengeksport terbesar iaitu India (31 peratus), Pakistan (24 peratus), China (22 peratus), Belanda (10 peratus), Thailand (enam peratus ), New Zealand (tiga peratus) dan lain-lain (empat peratus)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 6:20 PM