Oleh Amirul Haswendy Ashari


KEHILANGAN insan tersayang yang menjadi tempat bergantung pasti meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga.

Begitu nasib menimpa Halimah Sardin, 70, apabila kehilangan anak keempat, Mohd Razali Mat Sam pada usia 36 tahun akibat serangan jantung pada 18 Oktober 2018.

Arwah turut meninggalkan balu, Siti Aisyah Abdullah, 37 dan tiga anak, Muhammad Zulfaqar Zulkarnain, 6, Nur Fatiha, 4, dan Nur Fatima, 6 bulan.

Lebih menyentuh hati, pemergian arwah ketika Siti Aisyah baru dua minggu hamil anak bongsu.

“Arwah meninggal dunia ketika memancing. Arwah pernah sakit, tetapi demi keluarga, dia tetap kuatkan diri untuk bekerja.

“Ketiadaan arwah amat terasa kerana dia yang banyak meringankan beban keluarga,” kata Halimah.

Ibu tujuh anak, tetapi dua daripada mereka sudah meninggal dunia termasuk Mohd Razali enggan membebankan anak lain yang mempunyai tanggungan sendiri.

Halimah bersama menantu dan cucu tinggal  di PPR Jelatek.
Halimah bersama menantu dan cucu tinggal di PPR Jelatek.

Halimah bersama menantu dan tiga cucunya menetap di Blok 9, PPR Jalan Jelatek, akui sekiranya sihat, dia pasti bekerja untuk meringankan beban keluarga.

Apatah lagi Siti Aisyah hanya bekerja sebagai tukang sapu di PPR dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Siti Aisyah juga mengambil upah mengurut dengan pendapatan sekitar RM50 hingga RM100 sebulan.

Halimah yang menghidap penyakit jantung bengkak, kencing manis dan darah tinggi menerima bantuan daripada Baitulmal RM350 sebulan, selain bantuan sewa rumah RM124 sebulan.

Susulan pelbagai penyakit dihidapi, dia menjalani rawatan di klinik dan hospital hampir setiap bulan.

“Saya bersyukur dengan bantuan Baitulmal sejak 20 tahun lalu. Saya pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tapi tidak layak.

“Kami turut mendapat bantuan bayaran bil elektrik melalui e-Kasih. Seorang lagi anak lelaki saya menghidap penyakit saraf turut mendiami rumah ini.

“Walaupun sakit, dia turut meringankan beban dengan bekerja di tapak pembinaan berhampiran rumah,” katanya.

Halimah yang digelar Mak Ngah dalam kalangan jiran berterima kasih kepada persatuan penduduk yang sering membantu terutama apabila menjelang perayaan.

 Halimah  (kanan) dan  Siti Aisyah melihat  gambar   arwah anaknya.
Halimah (kanan) dan Siti Aisyah melihat gambar arwah anaknya.

“Waktu raya rezeki kami murah, tetapi hari-hari biasa, macam inilah kehidupan kami.

“Saya tidak risau makan pakai kerana insya-Allah, dicukupkan. Tetapi saya bimbang masa depan tiga cucu yang masih kecil,” katanya.

Menurutnya, Muhammad Zulfaqar Zulkarnain bakal kini sedang mengikuti prasekolah di masjid berhampiran dan sepatutnya mendaftar di sekolah rendah pada tahun depan selepas tamat prasekolah.

“Kami buntu untuk menyelesaikan isu berkaitan. Kami amat berharap ada pihak atau agensi berkaitan dapat membantu.

“Cucu (Muhammad Zulfaqar) anak yang sangat bijak dan terang hati dalam sudut agama tapi dia dan dua adiknya mungkin tidak dapat bersekolah seperti anak lain kerana masalah dokumentasi,” katanya.

HALIMAH bersama Muhammad Zulfaqar Zulkarnain dan Nur Fatiha.
HALIMAH bersama Muhammad Zulfaqar Zulkarnain dan Nur Fatiha.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 10:00 AM