Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid


DEWAN Rakyat, hari ini, diberitahu bahawa tiada sesiapa pun termasuk pemimpin politik sama ada kerajaan atau pembangkang akan terlepas daripada disiasat atau dihukum jika mencetuskan perbalahan antara kaum.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, langkah segera akan dilaksanakan jika pihak berkenaan sengaja mencetuskan provokasi, tidak mengira latar-belakang.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu), berhubung ada atau tidak tindakan penguatkuasaan kepada mana-mana pemimpin sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang yang mencetuskan perbalahan antara kaum.

Halimah (BN-Kota Tinggi) menegaskan ahli politik atau siapa pun jika mencetuskan provokasi boleh disiasat dan boleh didakwa di bawah Seksyen 298 A Kanun Keseksaan di bawah Akta 574 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

"Bagaimanapun, pihak kementerian tetap mahu menggunakan kaedah yang lebih menyemarakkan suasana perpaduan tanpa menekan masyarakat melalui perundangan yang ada.

"Sebab itu kita menggalakkan kaedah mediasi komuniti untuk menangani segala pertelingkahan, pertikaian dan persengketaan yang ada dalam komuniti," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Halimah berkata, kementeriannya bersama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang berbincang dalam usaha meletakkan pendidikan Rukun Negara dalam silibus sistem pendidikan negara.

"Jika dahulu kita ada pendidikan sivik dan tatanegara. Kita nak masukkan balik (dalam silibus) supaya dapat dipertimbangkan terutama di KPM untuk diserapkan kembali pendidikan Rukun Negara melalui sekolah rendah dan sekolah menengah.

"Apa pun, masyarakat Malaysia perlu dididik untuk memahami, menghormati antara satu sama lain dan juga undang-undang yang ada," katanya.

Datuk Halimah Mohamed Sadique
Datuk Halimah Mohamed Sadique

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 11:20 AM