Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: "Tunggu saya balik esok ye mak," itu ungkapan terakhir Azizah Eiyi, 40, kepada ibunya, Halimah Kasim, 63, sebelum bertolak ke kawasan perkelahan di Jeram Air Putih, Kemaman pada Sabtu lalu.

Menceritakan lebih lanjut, Halimah berkata, sebelum anak ketiga daripada tujuh beradik bersama keluarganya bertolak ke Kemaman, mereka singgah di rumahnya di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Pahang.

Menurutnya, arwah Azizah datang mengajaknya, namun dia terpaksa menolak kerana mereka bercadang untuk bermalam selain suaminya, Eiyi Johari, 60, pula bekerja.

"Azizah meminta saya menunggunya balik dari berkelah dan tidak sangka kami menunggunya di bilik mayat.

"Malah, ketika Azizah datang rumah, tiada perubahan ketara ditunjukkan. Cuma, seminggu sebelum kejadian berlaku, Azizah dan anak-anaknya jarang datang ke rumah.

Ibu kepada Azizah Eiyi, Halimah Kasim, 63. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Ibu kepada Azizah Eiyi, Halimah Kasim, 63. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK

"Jika tidak, boleh dikatakan setiap hari pagi dan petang anak-anak Azizah menghabiskan masa mereka bermain dan berada di rumah saya," katanya yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, hari ini.

Halimah berkata, dia mengetahui kejadian menimpa keluarga anaknya apabila anggota Balai Polis Gambang, Pahang datang meminta semua maklumat anak, menantu dan cucunya tanpa memaklumkan perkara sebenar.

Menurutnya, kira-kira 2 petang Ahad lalu, anggota Balai Polis Air Putih, Kemaman menghubungi dan bercakap dengan anaknya yang keenam memaklumkan menemui mayat Azizah dan anak lelakinya berusia 11 tahun.

"Sebaik menerima berita itu, hanya Allah saja yang tahu dan saya hampir pengsan. Saya bersama suami dan beberapa ahli keluarga lain bertolak ke Hospital Kemaman kira-kira 5 petang (Ahad) untuk proses pengecaman," katanya.

Katanya, walaupun sukar untuk menerima kejadian ini, namun dia sekeluarga reda dengan ujian diberikan.

"Saya berdoa supaya semua cucu-cucunya dapat ditemui dengan segera walau apa sekali pun," katanya.

Setakat ini, tujuh orang sudah ditemui iaitu Azizah Eiyi, 40; Karim Abdullah, 39; Muhammad Zulqarnain Haikal, 11; Muhammad Haziq Ziqree, 6; Putri Aryana Umaira, 4, Putri Nurerina Natasya, 10, dan Putri Balqis Izzati, 18.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 4:19 PM