DUA beradik yang ditinggalkan kebuluran oleh ibu mereka. - Agensi
DUA beradik yang ditinggalkan kebuluran oleh ibu mereka. - Agensi
Agensi

KIEV: Dua beradik diselamatkan polis selepas ditinggalkan kebuluran dalam rumah yang kotor hingga terpaksa memakan bekas styrofoam dan kertas dinding kerana terlalu lapar di Dnipro, Ukraine.

Daily Mail melaporkan, Diana, 5, dan adiknya, Anya, setahun, langsung tidak diendahkan ibu yang turut tinggal di rumah itu bersama mereka dan teman lelakinya, sebelum seorang jiran membuat laporan polis dan menyelamatkan kanak-kanak terbabit pada Khamis lalu.

Sumber polis berkata, keadaan rumah mereka terlalu jijik apabila dua beradik itu terpaksa tidur di atas cadar kotor dan makan daripada pinggan tidak dibasuh manakala tab mandi diselaputi kotoran hingga menyebabkan cacing membiak.

“Keadaan yang dilihat amat teruk sekali apabila tandas di rumah itu rosak menyebabkan mereka hanya menggunakan tab mandi.

“Tab mandi itu diselaputi kotoran tebal dan cacing membiak di situ. Ada bau yang terlalu busuk hingga sukar untuk bernafas,” katanya.

DIANA dan adiknya hidup dalam rumah yang terlalu kotor. - Agensi
DIANA dan adiknya hidup dalam rumah yang terlalu kotor. - Agensi

Dua beradik itu yang dihantar ke hospital untuk pemeriksaan didapati mengalami jangkitan kutu dan kekurangan zat.

Seorang doktor kanak-kanak, Liya Segeda berkata, najis mereka mengandungi styrofoam, kertas dinding, rambut serta pelbagai objek lain.

“Mereka hanya makan apa saja yang ditemui dalam rumah. Di hospital ini mereka dilatih menggunakan bekas najis dan kali pertama tidur di atas cadar bersih,” katanya.

Polis yang melaporkan kejadian itu kepada jabatan kebajikan akan memfailkan saman terhadap ibu mereka yang mengabaikan tanggungjawab.

Jurucakap polis, Ludmila Kopylenko berkata, wanita terbabit dan teman lelakinya tidak bekerja dan hanya membelanjakan wang saraan yang diperuntukkan untuk anaknya.

“Kanak-kanak itu hanya diberi makan sekali sebulan manakala ibunya menggunakan semua wang terbabit untuk membeli arak,” katanya.

KEADAAN tab mandi yang kotor. - Agensi
KEADAAN tab mandi yang kotor. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 5:30 AM