SULIAT Ogunjimi menggendong bayi kembarnya, Afusat Ganiyu dan Ganiyatu Adesope. FOTO Agensi
SULIAT Ogunjimi menggendong bayi kembarnya, Afusat Ganiyu dan Ganiyatu Adesope. FOTO Agensi
Reuters

KISAH pasangan kembar sering meninggalkan kesan kepada masyarakat apabila kehadiran mereka dianggap unik, malah kebanyakan ibu bapa mendambakan untuk dikurniakan anak kembar.

Ia juga menjadi satu perkara ikonik buat suku kaum Yoruba di Nigeria apabila sebahagian besar daripada mereka dikatakan lahir sebagai pasangan kembar.

Di sebuah pekan kecil yang dikenali sebagai Igbo Ora, pasangan kembar boleh ditemui di mana-mana saja sehingga ia dianggap sebagai ‘ibu kota pasangan kembar di dunia’.

Jolokan itu jelas terpampang pada sebuah papan iklan besar sebagai tarikan kepada pelancong yang berkunjung untuk melihat lebih dekat keunikan di pekan berkenaan.

PASANGAN kembar, Taiwo Adejare dan Kehinde Adejare.
PASANGAN kembar, Taiwo Adejare dan Kehinde Adejare.

Sekumpulan murid sekolah yang berbaris di luar kelas turut mencuri perhatian apabila hampir keseluruhan daripada mereka terdiri daripada pasangan kembar.

Bagaimanapun, kehadiran pasangan kembar dikatakan normal dalam masyarakat suku kaum itu dan kajian seorang pakar sakit puan Britain mendapati terdapat 50 pasangan kembar yang dilahirkan dalam setiap 1,000 kelahiran di barat daya Nigeria iaitu kadar pasangan kembar tertinggi di dunia.

Dalam masyarakat itu juga, pasangan kembar diberi gelaran khas iaitu Taiwo dan Kehinde bagi membezakan siapa yang dilahirkan dulu.

“Kami makan daun kacang bendi dan sebab itu terlalu ramai pasangan kembar di sini,” kata seorang kembar berusia 15 tahun, Kehinde Oyedepo.

PASANGAN kembar tidak seiras, Kehinda dan Taiwo Akinbola ketika menunggu giliran untuk mendapat suntikan imunisasi di sebuah klinik di Igro Ora. FOTO Agensi
PASANGAN kembar tidak seiras, Kehinda dan Taiwo Akinbola ketika menunggu giliran untuk mendapat suntikan imunisasi di sebuah klinik di Igro Ora. FOTO Agensi

Dia hanya mengulangi pendapat ramai penduduk di situ kononnya kelahiran ramai pasangan kembar disebabkan amalan memakan daun kacang bendi memandangkan ia menjadi bahan masakan utama bagi masakan stu yang popular di Igro Ora.

Seorang wanita, Oyenike Bamimore yang juga penjual roti berkata, dakwaan itu ada benarnya apabila ia menjadi sebab dia melahirkan lapan pasangan kembar.

“Disebabkan makan terlalu banyak daun kacang bendi, saya melahirkan lapan pasangan kembar,” katanya.

Penduduk berkata, cara mereka makan daun itu juga penting dan sebagai contoh, masakan stu itu perlu dijamah segera dan tidak boleh disimpan.

PASANGAN kembar, Kehinde dan Taiwo Aderogba mengupas ubi kayu di Igbo Ora. FOTO Agensi
PASANGAN kembar, Kehinde dan Taiwo Aderogba mengupas ubi kayu di Igbo Ora. FOTO Agensi

Ada juga penduduk berpendapat ia berpunca daripada makanan tradisi popular yang diperbuat daripada keladi dan tepung ubi kayu serta satu teori mengatakan keladi boleh menggalakkan pengeluaran gonadotropin iaitu satu ejen kimia yang merangsang pengeluaran telur.

Seorang pakar Obstetrik dan Sakit Puan di Lagos, Ekujumi Olarenwaju pula percaya terdapat sebab lain yang menyumbang kepada fenomena terbabit kerana keladi itu turut dimakan di negara lain namun tidak menunjukkan keadaan sama.

“Setakat ini, secara saintifiknya tidak ada siapa yang boleh menentukan puncanya. Satu sebab yang munasabah mungkin dari segi aspek keturunan apabila mereka berkahwin dalam kalangan suku kaum selama bertahun-tahun dan mempunyai genetik terkumpul serta tertumpu dalam persekitaran berkenaan,” katanya.

KEMBAR seiras, Taiwo Ahmed dan Kehinde Ahmed berdiri di hadapan rumah mereka. FOTO Agensi
KEMBAR seiras, Taiwo Ahmed dan Kehinde Ahmed berdiri di hadapan rumah mereka. FOTO Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 9:12 AM