CHOON Hann (tengah) bersama ahli MABA memohon maaf. FOTO ihsan MABA
CHOON Hann (tengah) bersama ahli MABA memohon maaf. FOTO ihsan MABA
Meor Riduwan Meor Ahmad


KHIDMAT kontraktor produksi siaran langsung ditamatkan selepas didapati cuai memaparkan Jalur Gemilang yang salah ketika nyanyian lagu Negaraku pada pembukaan Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak Bawah 15 di stadium Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (MABA), malam tadi.

Presiden MABA, Datuk Lua Choon Hann berkata, penamatan kontrak itu dibuat selepas siasatan dilakukan pihaknya dan mendapati kecuaian berlaku di pihak kontraktor terbabit.

Beliau berkata, pegawai eksekutif MABA yang menyedari kesilapan itu ketika upacara perasmian itu berlangsung segera mengarahkan pihak kontraktor menamatkan siaran langsung itu dan video dipadam dari Youtube dan Facebook.

“Terlebih dulu, saya selaku presiden MABA, ingin memohon maaf kepada semua warga negara Malaysia dan mengambil tanggungjawab atas kecuaian dan kesalahan yang berlaku.

“Saya ingin menjelaskan kesilapan ini terjadi apabila pihak kontraktor yang terbabit produksi 'live stream' cuai ketika pembukaan pertandingan bawah 15 tahun.

“Kami memandang serius isu ini dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian ini selain mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak kontraktor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan MABA baru setahun menggunakan khidmat kontraktor berkenaan.

Choon Hann berkata, MABA turut memohon maaf kepada semua rakan penaja dan amat kesal dengan kesalahan serta kecuaian itu.

"Terutamanya, penaja Westports Malaysia tidak terbabit dalam perkara ini dan nama baik syarikat Westports hanya dipamerkan secara kekal di skrin dalam stadium.

"Saya juga berharap rakyat Malaysia akan mengampuni kami dan memahami kesilapan ini tidak disengajakan. Kami tidak berniat untuk tidak menghormati Jalur Gemilang dan menyinggung perasaan rakyat Malaysia.

"Sebagai badan sukan, MABA hanya berniat melakukan yang terbaik untuk mengembangkan bola keranjang di Malaysia," katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya tidak menggunakan kesilapan itu sebagai agenda politik atau perkauman.

Berita berkaitan

'KBS akan ambil tindakan' - Syed Saddiq [METROTV]

[UPDATE] Polis dah panggil Presiden MABA

MABA mohon maaf silap bendera

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 6:31 PM