BENGKEL yang menjadi sasaran penjenayah.
BENGKEL yang menjadi sasaran penjenayah.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


TEBUK lubang pada dinding untuk pecah masuk ke dalam bengkel.

Itu taktik digunakan pencuri yang memecah masuk sebuah bengkel di Jalan Trompet di sini, dan melarikan komponen motosikal dianggarkan berjumlah RM30,000.

Kejadian itu disedari pemilik bengkel Alies Nurhafifi Abd Hamid, 20, sebaik tiba di premis berkenaan jam 1 tengah hari, kelmarin.

Alies Nurhafifi berkata, sebaik tiba, dia mendapati bengkel itu dalam keadaan berselerak.

“Pada mulanya saya memeriksa pintu depan, namun tiada tanda pecah masuk sebelum menemui lubang pada dinding di bahagian belakang premis yang dipercayai ditebuk oleh pencuri untuk masuk ke dalam bengkel.

“Berdasarkan bentuk lubang itu, saya percaya pencuri masuk melalui kedai kosong terletak di belakang premis sebelum memecahkan dinding berkenaan untuk masuk ke dalam bengkel,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati pelbagai jenis komponen motosikal untuk dijual turut lesap dilarikan pencuri.

“Bukan saja komponen untuk jualan, malah ada motosikal milik pelanggan yang berada dalam bengkel turut dileraikan pencuri untuk mendapatkan komponen.

PENCURI meninggalkan kotak kosong.
PENCURI meninggalkan kotak kosong.

“Kejadian ini kali pertama berlaku sejak saya membuka bengkel di kawasan ini hampir setahun lalu,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Bukit Beruntung, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit selepas dimaklumkan pemilik bengkel berkenaan jam 5 petang.

“Menurut mangsa, dia meninggalkan bengkel berkenaan dalam keadaan baik dan berkunci jam 12 tengah malam, Isnin lalu.

“Ketika mangsa pergi ke bengkel terbabit jam 1 tengah hari, dia mendapati pelbagai jenis komponen motosikal di dalam premis itu hilang,” katanya.

Azman berkata, antara komponen yang dilaporkan hilang adalah 13 set ekzos, 12 set sport rim, satu set cover motosikal Yamaha LC1R, enam tayar, dua hub alloy, satu set mono absorber, 50 bush alloy dan 12 tempat duduk king drag yang dianggarkan RM30,000.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit tujuh saat menunjukkan dinding dipecahkan pencuri dan keadaan bengkel berkenaan selepas dipecah masuk tular selepas dimuat naik di media sosial sejak kelmarin.

KEADAAN lubang yang ditebuk penjenayah.
KEADAAN lubang yang ditebuk penjenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 7:00 AM