Siti Rohana Idris

Tumpat: "Ketika saya berlari untuk mendapatkan alat pemadam api di kedai runcit sebelah, kedengaran letupan dari bengkel. Saya cemas kerana ayah ada di dalam sedang memadamkan api," kata Mohamad Haziq Mohd Azmi, mangsa kebakaran di Kampung Gerong, di sini, malam tadi.

Dalam kebakaran jam 9.45 malam itu, Mohamad Haziq, 19, bersama enam ahli keluarga berada di rumah di belakang bengkel motosikal yang bersambung dengan kediaman mereka.

Mohamad Haziq berkata, akibat kejadian itu, bapanya, Mohd Azmi Deraman, 53, melecur di beberapa bahagian badan disebabkan terkena percikan minyak hitam panas.

MOHD Azmi melecur di beberapa bahagian badan disebabkan terkena percikan minyak hitam panas. FOTO ihsan bomba
MOHD Azmi melecur di beberapa bahagian badan disebabkan terkena percikan minyak hitam panas. FOTO ihsan bomba

Menurutnya, sebelum kejadian, mereka sekeluarga terdengar bunyi hon beberapa kali dari jalan utama sebelum keluar dan menyedari bengkel milik bapanya terbakar.

"Ketika itu api masih kecil dan kami cuba memadamkan kebakaran sambil membawa keluar alatan ganti serta motosikal dalam premis.

"Api hampir dapat dipadamkan bapa dan apabila alat pemadam habis digunakan, saya segera berlari ke kedai runcit sebelah untuk mendapatkan peralatan itu dan tidak lama kemudian kedengaran letupan dari bengkel.

"Saya segera berpatah balik dan nampak ayah keluar dalam keadaan lemah dengan sebahagian besar tubuhnya melecur serta ada tompokan minyak panas," katanya ketika ditemui hari ini.

Mohamad Haziq berkata, letupan kuat itu mungkin berpunca daripada api yang merebak ke sebuah tong yang mengandungi minyak hitam sekali gus memusnahkan bengkel yang diusahakan bapanya sejak 10 tahun lalu.

KEADAAN bengkel motosikal yang musnah dalam kebakaran malam tadi. Kebakaran turut membabitkan kediaman yang bersambung dengan premis itu. FOTO Siti Rohana Idris
KEADAAN bengkel motosikal yang musnah dalam kebakaran malam tadi. Kebakaran turut membabitkan kediaman yang bersambung dengan premis itu. FOTO Siti Rohana Idris

Menurutnya, bapanya yang melecur di bahu, belakang dan kepala segera dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu dan dimasukkan ke zon merah namun kini keadaannya stabil.

"Seorang lagi individu yang cuba membantu kami turut cedera akibat percikan minyak hitam panas itu dan turut menerima rawatan di klinik," katanya sambil memberitahu tiga motosikal milik pelanggan hangus dan tidak sempat dibawa keluar.

Kebakaran itu turut memusnahkan 80 peratus rumah menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 1:39 PM