AFFRISAL sanggup membatalkan hasrat menonton perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Malaysia, baru-baru ini untuk membantu lelaki warga emas yang dalam kesusahan. FOTO Affrisal Arifuddin
AFFRISAL sanggup membatalkan hasrat menonton perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Malaysia, baru-baru ini untuk membantu lelaki warga emas yang dalam kesusahan. FOTO Affrisal Arifuddin
Alias Abd Rani


SILATURAHIM tidak mengenal bangsa dan agama, itu teladan dapat dicontohi daripada Affrisal Arifuddin, 38, apabila sanggup membatalkan hasrat menonton perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Malaysia baru-baru ini, hanya kerana mahu membantu seorang lelaki Cina yang dalam kesusahan.

Ketika dalam perjalanan ke Stadium Nasional Bukit Jalil dari Port Dickson, 10 September lalu, Affrisal yang menunggang motosikal terserempak dengan lelaki warga emas berusia 60-an itu cuba membetulkan motosikal yang rosak di tepi jalan.

Perasaan kasihan mula terbit dalam dirinya apabila melihat kelibat lelaki itu duduk di tepi Lebuhraya PLUS, berdekatan Seremban, Negeri Sembilan sebelum berhenti menghulurkan bantuan, kira-kira jam 2 petang pada hari kejadian.

“Saya rela batalkan hasrat menonton perlawanan bola sepak antara Malaysia menentang UAE (Emiriah Arab Bersatu) andainya urusan itu (membantu lelaki warga emas berkenaan) tidak selesai,” kata Affrisal.

Menceritakan pengalaman itu, Affrisal berkata, sebaik keluar dari Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), dia ternampak kelibat lelaki terbabit sebelum berpatah balik bagi bertanyakan masalah dihadapi.

“Lelaki itu memberitahu motosikalnya tidak dapat dihidupkan walaupun petrol masih penuh dalam tangki.

“Saya tidak mahir sangat hal berkaitan mekanik dan kebetulan ternampak kenderaan PLUS ronda lalu saya menahan bagi mendapatkan bantuan.

“Petugas PLUS ronda cuba memberi bantuan, tapi malangnya motosikal masih gagal dihidupkan.

“Selepas berbincang, saya memutuskan untuk menunda motosikal lelaki itu itu dan sebagai langkah keselamatan, petugas PLUS ronda mengekori kami dari belakang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

AFFRISAL membantu lelaki warga emas yang mengalami kerosakan motosikal tanpa meminta balasan. FOTO Affrisal Arifuddin
AFFRISAL membantu lelaki warga emas yang mengalami kerosakan motosikal tanpa meminta balasan. FOTO Affrisal Arifuddin

Affrisal berkata, petugas PLUS ronda mencadangkan supaya dia mencari bengkel berdekatan kerana mereka tidak boleh mengekori jauh dari lokasi yang ditetapkan selain ada tugas yang perlu diselesaikan.

Tanpa membuang masa, dia menunda motosikal lelaki itu hingga susur keluar plaza tol Labu sebelum meminta warga emas itu menunggu di situ kerana mahu mencari mekanik.

“Bayangkan, saya langsung tidak pernah jejak kaki di situ tapi disebabkan kasihan melihat lelaki itu, saya nekad mencari bengkel terdekat.

“Kira-kira sejam, barulah saya menemui bengkel yang jaraknya 15 kilometer dari tempat lelaki itu menunggu.

“Allah permudahkan urusan saya ketika itu lalu kembali dan menunda motosikalnya hingga ke bengkel.

“Selepas itu, lelaki terbabit hulurkan RM50 dan mengucapkan terima kasih kerana sudi menghulurkan bantuan kepadanya,” katanya.

Bagaimanapun, wang pemberian lelaki itu tidak diambil sebaliknya diberikan kepada pemilik bengkel sebagai kos membaik-pulih motosikalnya.

Bukan itu sahaja, Affrisal memberitahu lelaki itu amat memerlukan wang dan atas sebab itulah dia menggunakannya untuk membayar kos.

“Saya beritahu pada dia, pertolongan ini ikhlas. Allah hantar saya pada ketika itu dan segala urusan selesai hampir lima jam kemudian.

“Apa yang saya nampak, lelaki itu hidup seperti sebatang kara.

“Apabila kita jumpa situasi seperti ini, ingatlah Allah bukan menguji orang itu tapi Allah menguji kita sebagai manusia, janganlah kita sekadar memandang, hulurkan bantuan setakat yang kita mampu,” katanya.

Keterangan gambar

1. Affrisal bersama lelaki terbabit.

2. Motosikal lelaki Cina itu dihantar ke bengkel.

3. Lelaki itu meneruskan perjalanan sebaik selesai dibaik pulih.

4. Lelaki itu menunggu di tepi Lebuhraya PLUS selepas motosikal rosak.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:17 PM