DARELL diberi penerangan mengenai kipas pesawat  oleh Ketua Pegawai Eksekutif Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) Shamsuddin Mohamed Yusof (kanan)  semasa melawat gerai pameran pada Perasmian Malaysia Aerospace Summit 2019 di MITI. FOTO: Saifullizan Tamadi
DARELL diberi penerangan mengenai kipas pesawat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) Shamsuddin Mohamed Yusof (kanan) semasa melawat gerai pameran pada Perasmian Malaysia Aerospace Summit 2019 di MITI. FOTO: Saifullizan Tamadi
Che Wan Badrul Alias


PROJEK kereta nasional baharu tidak akan mendapat pakej menyelamat daripada kerajaan seperti yang pernah disalurkan kepada PROTON bagi membantu pemulihannya sebelum ini, jika ia gagal.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking berkata, ia selepas mengambil kira projek itu adalah inisiatif swasta dan kerajaan hanya menyokongnya kerana mewujudkan ekosistem baharu.

Katanya, kerajaan berpandangan, jika projek kereta nasional baharu itu gagal maka ia adalah disebabkan kegagalan pengurusan dan produk.

"Kerajaan tidak akan melaksanakan 'bail out' (menyelamat) kalau gagal, kerana ia bukan inisiatif kerajaan dan ini adalah hala tuju baharu negara (yang menggalakkan inisiatif swasta).

"Namun, dalam isu kereta nasional baharu ini adalah jelas, produk mereka mendapat kerjasama Jepun, mereka sangat yakin dan tidak mengharapkan bantuan kewangan kerajaan.

"Maka, mengapa kita mahu membunuhnya, kalau ia benda bagus kita akan sokong," katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2019 (MyAero'19) di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Darell berkata, insentif untuk perniagaan seperti insentif cukai tidak akan diberikan sewenang-wenangnya di bawah pemantauan kerajaan, melainkan ia benar-benar memanfaatkan negara, mewujudkan pekerjaan tempatan dan teknologi.

Justeru, beliau menegaskan insentif seperti itu hanya akan diberikan kepada pelabur domestik atau luar negara yang benar-benar layak.

"Selain kereta nasional ini, ada juga yang pihak mencadangkan projek masing-masing dan kerajaan sentiasa menyokongnya tidak kira ia datang dari dalam negara atau luar."

"Namun setakat ini, DreamEDGE Sdn Bhd (DreamEDGE) tidak memerlukan atau menerima sebarang inisiatif dari kerajaan, kerana kelihatannya mereka sangat yakin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 5:53 PM