Mohd Sabran Md Sani


BUKAN saja membuat laporan, usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, 34, turun padang bersama pasukannya bagi menjejaki aktiviti penjualan bengkung disyaki tiruan di premis perniagaan di Bandar Baru Uda dan Pandan, Johor Bahru, petang semalam.

Komitmen usahawan itu membuahkan hasil apabila operasi selama tujuh jam bersama 26 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor menemui lubuk penjualan produk keluaran syarikatnya.

Malah, pasukan khas dibawa Nur Sajat menemukan tujuh premis menjual 147 unit bengkung disyaki tiruan dengan anggaran rampasan bernilai RM17,455.70.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Johor, Zubir Hamsa berkata, kesungguhan usahawan itu membantu menjejaki aduan berkaitan produk bengkung disyaki tiruan.

Katanya, operasi bermula jam 6 petang dan berakhir 1 pagi berjaya mengesan ‘lubuk’ penjualan produk disyaki tiruan itu.

“Nur Sajat yang turut menghantar pasukan khas dari syarikatnya membantu anggota penguat kuasa mengenalpasti barangan tiruan.

“Setiap seorang dari anggota pasukan Nur Sajat yang menyertai serbuan di setiap premis mengesahkan produk dijual diciplak berdasarkan empat hingga lima perbezaan berbanding produk tulen di pasaran,” katanya pada sidang media di Menara Ansar, Johor Bharu, hari ini.

Katanya, usahawan kometik itu membuat aduan mengenai aktiviti penjualan bengkung disyaki tiruan di beberapa premis perniagaan sejak dua minggu lalu.

“Berdasarkan aduan, intipan dan risikan dilakukan anggota penguat kuasa KPDNHEP termasuk melihat cara modus operandi dan penyimpanan barang.

“Sebaik maklumat lengkap dikumpulkan, serbuan dilakukan selama tujuh jam turut disertai pemilik cap dagang produk berkenaan,” katanya.

Zubir berkata, semua barangan ini disita mengikut Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 bagi tujuan siasatan lanjut.

“Kami akan melakukan siasatan mengenai produk ini adalah ciplak atau sebaliknya.

“Perkara ini (peniaga maklum produk adalah ciplak) kita akan siasat, tetapi kami percaya mereka tahu dan jika benar, ia jadi satu kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP Johor memandang serius isu ini kerana produk dipasarkan adalah untuk anggota badan.

“Kita bimbang jika pembuatannya tidak dikawal ia boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna,” katanya.

Pada Jun lalu, usahawan itu mendedahkan tiga produk keluaran syarikatnya didakwa diciplak pihak tidak bertanggungjawab hingga mengakibatkan kerugian.

Nur Sajat berkata, dia menyedari produk bengkung keluaran syarikatnya diciplak sejak tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 2:02 PM
ZUBIR (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian produk bengkung tiruan yang dirampas. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
ZUBIR (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian produk bengkung tiruan yang dirampas. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN