MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan, Datuk Hamzah Zainudin. FOTO Muhd Asyraf Sawal/Arkib NSTP
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan, Datuk Hamzah Zainudin. FOTO Muhd Asyraf Sawal/Arkib NSTP
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Kelana Jaya: Operasi membanteras penjualan gajet dan peralatan telekomunikasi tiruan di seluruh negara bukan bersifat berkala sebaliknya akan dipergiatkan bagi menangani lambakan barangan berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hamzah Zainudin berkata, pelbagai kaedah digunakan pihaknya bagi mengesan dan membanteras penjualan gajet tiruan yang merugikan orang ramai.

Katanya, ini termasuk melalui kaedah penyamaran oleh anggota penguat kuasa bagi mengesan aktiviti berkenaan di lokasi dikenal pasti.

"Saya tegaskan anggota penguat kuasa kita melakukan pelbagai cara (penyamaran) contohnya jadi 'Pak Lebai' sebelum serbuan kerana sebelum ini ada operasi kita gagal apabila premis dikenal pasti ditutup," katanya pada sidang media sewaktu menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya anjuran Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (ANGKASA) di ibu pejabat agensi itu di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalannya Timbalan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Susulan insiden kekecohan di Plaza Low Yat pertengahan bulan lalu dikaitkan isu penjualan gajet tiruan, kementerian melakukan beberapa siri serbuan dan pemeriksaan di premis disyaki menjual produk tiruan.

Hamzah berkata, pihaknya kesal ada dakwaan kononnya operasi dilakukan pihaknya menyebabkan pengguna kehilangan peluang membeli produk berkenaan pada harga murah.

"Kita ada agensi yang menentukan standard produk dan operasi dilakukan bertujuan memastikan pengguna mendapat produk berkualiti," katanya.

Pada majlis sama, Hamzah turut menyaksikan beberapa koperasi menandatangani perjanjian kerjasama dengan ANGKASA serta melancarkan perkhidmatan perniagaan tambah nilai komunikasi dan pembayaran bil menggunakan peranti sistem aplikasi android dikenali sebagai 'PAY4ALL'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 4:24 PM