KUMPULAN dari Amerika Syarikat, LANY.
KUMPULAN dari Amerika Syarikat, LANY.
Georgie Joseph


SETIAP pencipta lagu pasti ada cara tersendiri untuk menghasilkan karya yang mampu mengubah kerjaya muzik mereka.

Demikian juga band dari Amerika Syarikat (AS) LANY yang menyifatkan karya yang terhasil daripada pengalaman terburuk adalah sangat berkesan.

Dianggotai Paul Jason Klien selaku penyanyi, Jake Clifford Goss (dram) dan Les Priest (keyboard), LANY menakluk dunia menerusi album Malibu Nights yang dilancarkan tahun lalu.

Sejak itu, peminat mereka semakin bertambah dan pujian demi pujian diberikan terhadap karya dalam album berkenaan.

Semestinya, mesej dalam setiap lagu berjaya menyentuh ramai mengenai pengalaman hidup masing-masing.

Berkongsi mengenai penghasilan album itu bersama RAP baru-baru ini, Paul berkata, kerja keras mereka sangat berbaloi memandangkan album berkenaan mendapat penerimaan luar biasa.

“Saya rasa ia berjaya membuahkan hasil yang lumayan disebabkan inspirasi lagu datang daripada pengalaman terburuk dalam hidup. Sewaktu mencipta lagu kami, saya tulis mengenai pengalaman itu.

“Walaupun pernah melalui waktu yang sangat sukar, ia dirasakan sangat indah apabila dapat berkongsi mengenainya. Rasanya sangat mengagumkan apabila album itu berjaya membawa kami ke seluruh dunia,” katanya.

Mereka juga mengakui sukar untuk tidak bercerita mengenai pengalaman peribadi dalam lagu mereka.

Menurut Paul, mereka lebih selesa dan sangat terbuka apabila menceritakan kisah sendiri dalam lagu. Kepuasan dirasai jauh lebih luar biasa berbanding menulis sesuatu yang tidak ada kaitan dengan mereka.

“Saya lebih suka menulis daripada perspektif jujur termasuk pengalaman sendiri. Saya tidak rasa boleh menulis cerita lebih baik jika ia bukan sesuatu yang pernah terjadi kepada saya.

“Saya juga tidak pasti jika mampu merasai hubungan dengan lagu yang bukan datang dari kejujuran sendiri. Pastinya sukar,” katanya.

LANY anggap penerimaan peminat sangat bermakna.
LANY anggap penerimaan peminat sangat bermakna.

Bagaimanapun, dia tidak menolak idea jika ada penulis lagu yang lebih memilih untuk menulis lagu bukan berdasarkan kisah sendiri.

“Konsepnya seperti menulis kisah fiksyen dan bukan fiksyen. Ada orang yang boleh menulis kisah fiksyen atau sebaliknya dengan baik sekali. Tapi, saya tetap percaya impaknya jauh lebih berkesan sekiranya menulis dari hati sendiri. Kami pun sangat terbuka dan sedia berkongsi apa juga pengalaman peribadi kepada pendengar,” katanya.

PENERIMAAN PEMINAT SANGAT BERMAKNA

Sebagai penulis lagu dan pemuzik, LANY juga beranggapan takrifan bagus terletak kepada banyak faktor. Namun, mereka percaya semua penulis lagu perlu dihormati dan dihargai usahanya.

Paul berkata, dia memilih untuk percaya bahawa apa juga yang disampaikan atau dipersembahkan artis perlu dihargai.

“Paling menyeronokkan apabila artis sendiri bersungguh-sungguh dan bangga apabila berada di pentas.

“Jika saya senyum di pentas sewaktu bermain muzik, ia menterjemahkan perasaan yang sangat seronok dengan muzik kami. Itulah yang perlu ada dalam perasaan setiap artis atau pemuzik,” katanya.

Menjadi antara artis antarabangsa yang sentiasa dinantikan persembahannya sekarang, LANY berasakan itu sangat bermakna. Mereka juga sangat gembira apabila transisi muzik band itu semakin bertambah baik.

“Saya tidak pasti sama ada kami antara band yang laris ketika ini. Bagaimanapun, apabila bermain muzik, contohnya di depan lebih 3,500 peminat di Malaysia, perasaan itu sangat luar biasa.

“Kami juga dapat berasakan penulisan lagu semakin baik selain corak persembahan di pentas juga bertambah bagus. Kami sangat senang dengan perkembangan dan transisi masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, LANY juga sentiasa berpegang kepada prinsip untuk menghargai setiap karya mereka dan tidak pilih kasih. Disebabkan itu, mereka akui memang sukar untuk menentukan lagu mana perlu dipersembahkan di pentas.

“Ia memang sangat mencabar. Kami mengambil masa yang agak lama juga untuk menyesuaikan diri bagaimana memilih lagu setiap kali membuat persembahan.

“Bagaimanapun, kami sudah dapat rentak dan selalu meletakkan setiap persembahan sebagai sebuah produk. Jadi, kami mahu pastikan produk yang kami bawa dan tidak mengetepikan lagu tidak popular. Sebaliknya, kami sangat menghargai setiap lagu kami yang semuanya membawa makna tersendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 6:00 AM