SEBANYAK 16 pasukan hanya ada masa seminggu untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu. FOTO Muhaizan Yahya
SEBANYAK 16 pasukan hanya ada masa seminggu untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu. FOTO Muhaizan Yahya
Firdaus Hashim


TEMPOH persiapan singkat tidak sampai seminggu sebelum bermulanya saingan Piala Malaysia pasti mendatangkan masalah buat semua 16 pasukan yang bersaing terutama untuk memahami peraturan baharu yang diperkenalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, masalah yang mungkin timbul daripada pelaksanaan peraturan baharu itu adalah berkaitan aspek dalam permainan kerana pemain sudah terbiasa dengan cara lama.

“Kalau menyentuh mengenai jurulatih... tak ada masalah sebab peraturan sebelum ini jurulatih pernah tiba-tiba saja disuruh keluar kalau membantah keputusan pengadil.

“Tetapi sekarang jurulatih akan dapat kad kuning dan kemudian merah, jadi jurulatih tidak dihalau secara tiba-tiba. Jadi itu tak ada masalah langsung dan bukan isu.

“Cuma masalahnya kepada pemain, contohnya kita tak boleh berdiri dekat dengan benteng lawan apabila melakukan sepakan percuma selain boleh menerima bola dalam kawasan penalti ketika sepakan gol.

“Ini perkara-perkara yang setiap pasukan kena tekankan dalam latihan dalam tempoh singkat ini. Kalau kita tak faham mungkin ia akan menimbulkan masalah waktu perlawanan dan akhirnya akan merugikan pasukan apabila pengadil memberikan hukuman,” katanya.

Mac lalu, Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) memutuskan tujuh peraturan baharu akan diperkenalkan mulai tahun ini khusus bagi menambahbaik mutu perlawanan dengan meminimumkan pembaziran masa.

Ia disambut baik FAM yang akan mengguna pakai peraturan berkenaan bermula 2 Ogos ini dalam saingan Piala Malaysia.

Antara peraturan lain yang diperkenalkan adalah benteng sepakan percuma hanya dibarisi oleh pemain lawan saja tanpa diganggu serta layangan kad kuning atau merah kepada jurulatih yang cuba mengganggu permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 4:30 AM