BAYI berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
BAYI berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop


BAYI lelaki masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di hadapan Surau Nur Iman, Kampung Pinang Seberang, Kamunting di Taiping, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.35 petang itu, bayi itu ditemui di dalam kotak dengan badannya dibalut dengan kain dan ditinggalkan di hadapan surau berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Razlam Ab Hamid berkata, bayi itu ditemui oleh seorang anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

“Kaunter aduan Balai Polis Kamunting terima panggilan daripada anggota yang sedang membuat rondaan iaitu Lans Koperal Nurul Kamal yang beliau menemui bayi lelaki yang ditinggalkan di surau kampung berkenaan.

“Bayi berkenaan ditinggalkan di dalam kotak dalam keadaan masih bertali pusat,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Razlam berkata, bayi dipercayai baru dilahirkan itu kemudiannya dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat untuk membuang bayi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 10:19 PM