KEADAAN kereta dinaiki mangsa. FOTO ihsan Bomba
KEADAAN kereta dinaiki mangsa. FOTO ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman


DUA beradik maut selepas kereta dinaiki bersama ibu serta bapa tiri mereka terbabit kemalangan dengan lori dan bas ekspres di Kilometer 203.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Taiping, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa R Vijaydren, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya R Shankar Rao, 13, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Taiping.

Difahamkan, ibu mangsa parah manakala bapa tiri mereka yang memandu kereta berkenaan cedera dan sedang menerima rawatan di hospital sama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, siasatan awal polis mendapati kereta dari Kuala Lumpur menuju ke Sungai Petani, Kedah, dipercayai bergesel dengan lori di lokasi kejadian.

"Selepas bergesel dengan lori berkenaan, kereta berkenaan berhenti di tengah lebuh raya sebelum bas ekspres dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta berkenaan," katanya dalam kenyataannya di Taiping, hari ini.

Razlam berkata, pemandu bas bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 12:53 PM