ASMIDAR bersama Pat dan Aznil.
ASMIDAR bersama Pat dan Aznil.
Syanty Octavia Amry


Kisah kehidupan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee pastinya menjadi perhatian.

Walaupun beribu kali filemnya ditayangkan di televisyen, penonton tidak pernah jemu dan bosan untuk terus menonton.

Begitu juga dengan pementasan teater P Ramlee The Musical yang diterbitkan Enfiniti Vision Media Sdn Bhd.

Dari musim pertama hinggalah ia kembali untuk musim kelima dengan nama P Ramlee The Musical Tour dengan membariskan pelakon hebat seperti Tony Eusoff, Nadia Aqilah, Datuk Aznil Nawawi serta penampilan wajah baru penyanyi, Asmidar.

Menariknya, musim ini penonton berpeluang menyaksikannya di Pulau Pinang, Johor dan Melaka bermula 28 Ogos hingga 13 September ini.

Pengarah dan kareografernya Pat Ibrahim berkata, ini kali kedua dia mengarahkan P Ramlee The Musical selepas kali pertama ketika ia dipentaskan di Kuching, Sarawak.

“Jalan cerita masih dikekalkan. Bezanya kali ini ia diarahkan saya dan pastinya setiap pengarah punya cara dan idea sendiri dalam menterjemahkannya kepada pelakon.

“Seperti saya sendiri, idea mula timbul sejak pertama kali terbabit dalam pementasan ini dan ketika itu bermacam-macam yang berada di fikiran saya dalam mengembangkan lagi watak setiap pelakon.

“Apabila diberi peluang menjadi pengarah, inilah masanya untuk saya mengeluarkannya dan saya berpuas hati kerana semua pelakon berjaya melakukannya seperti apa yang saya bayangkan,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan Asmidar sebagai Junaidah, Pat berkata, kali ini dia mahukan pembaharuan dengan memberi peluang muka baru untuk tampil di pentas teater.

“Penari saya yang mencadangkan nama Asmidar. Kebetulan pula saya sudah kenal dia sejak 10 tahun lalu ketika kami mengadakan bengkel untuk teater Puteri Gunung Ledang.

“Saya tahu kini dia seorang penyanyi, tetapi saya tidak tahu dia boleh menari. Pun begitu saya yakin dia boleh membawakan watak Junaidah dengan baik,” katanya.

Dalam pementasan sebelum ini, watak Junaidah dibawa pelakon Lisa Surihani yang kini berehat kerana hamil.

Sementara itu, Asmidar berkata, dia tidak menyangka ditawarkan berlakon teater di bawah produksi Enfiniti. Ini kerana semua orang tahu projek yang mereka jayakan bukan calang-calang.

“Teruja dan takut. Kerana ini kali pertama saya berlakon teater. Tidak hanya berlakon saya juga perlu menyanyi dan menari kerana itulah watak Junaidah dalam teater ini.

“Apa pun saya bersyukur kerana pengarah dan team yang lain sangat membantu sepanjang kami mengadakan latihan.

“Malah Penerbit Puan Seri Tiara Jacquelina juga turut sama memberikan saya tip bagaimana menjadi seorang pelakon sambil menyanyi di pentas teater,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 9:04 AM