ALTIMET teruja bekerjasama dengan Shamaine (kiri) dan Mia.
ALTIMET teruja bekerjasama dengan Shamaine (kiri) dan Mia.
Syanty Octavia Amry


Kehangatan teater Ola Bola The Musical yang bakal dipentaskan tidak lama lagi kian dirasai kru produksi terbabit.

Bakal diarahkan penerbit tersohor yang juga peneraju utama Kumpulan Enfiniti iaitu Puan Sri Tiara Jacquelina, Ola Bola The Musical akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 22 Februari hingga 22 Mac tahun depan.

Buat pertama kalinya, penyanyi rap Altimet turut mencurah idea dalam menghasilkan lagu untuk teater Ola Bola ini.

Sebanyak 20 lagu baru akan dihasilkan yang mengetengahkan konsep hip hop dan sesuai dengan tema sukan yang diangkat daripada jalan cerita Ola Bola itu sendiri.

Selain Altimet, dua lagi individu yang terbabit dalam pasukan yang diberi nama Pasukan Kreatif Ola Bola The Musical, Mia Palencia dan Shamaine Othman turut terbabit memerah otak bersama-sama Altimet.

Berkongsi pengalaman mereka, Altimet yang pertama kali menghasilkan lagu untuk teater teruja dan sedar akan cabaran yang bakal dia lalui bersama rakan.

“Ini pengalaman pertama saya mencipta lagu untuk teater. Satu pengalaman baru dan saya pasti tidak sama dengan cabaran menghasilkan lagu di studio.

“Apatah lagi saya akan bekerjasama dengan Mia dan Shamaine. Kami perlu memastikan setiap lagu yang dihasilkan bersesuaian dengan konsep cerita,” katanya.

Altimet berkata, untuk teater ini dia hanya terbabit di belakang tabir dan belum bersedia beraksi di pentas teater.

“Apabila diberi cabaran baru dan pertama kali pastinya saya mahukan yang terbaik dan saya mahu fokus terhadap penghasilan lagu saya untuk teater ini,” katanya.

Bagi Mia Palencia pula, kehebatan filem Ola Bola antara sebab dia menerima tawaran menyertai teater ini.

Malah, Mia sanggup berulang-alik dari Australia ke Kuala Lumpur demi merealisasikan impiannya untuk melihat teater itu berjaya.

“Pastinya saya teruja, siapa yang tidak mahu terbabit dalam teater Ola Bola. Filemnya saja sudah cukup membuatkan saya bangga untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini.

“Saya juga tiada masalah untuk bekerja dengan Altimet dan Shamaine walaupun ini pertama kali berkolaborasi berbanding sebelum ini saya melakukannya sendiri untuk teater musical MUD,” katanya.

Shamaine juga mengakui hal sama, teruja menjadi sebahagian daripada pasukan Ola Bola The Musical.

Meskipun mencabar, ia satu pengalaman yang perlu dicuba dan dilakukan.

“Saya berharap dapat menarik penonton filem Ola Bola untuk sama-sama menghangatkan teater ini.

“Walaupun berada di tempat yang berbeza saya yakin akan sokongan peminat terhadap Ola Bola itu sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 3:57 AM