Nurul Hidayah Bahaudin


WANITA cemas apabila anak perempuannya dirangkul lelaki tidak dikenali di perkarangan masjid di Taman Seri Melati, Selayang, kelmarin.

Kejadian itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan.

Menerusi rakaman video berdurasi 40 saat terbabit, kanak-kanak perempuan dilihat sedang bermain di perkarangan masjid itu sebelum dia dihampiri lelaki yang seolah-olah merangkul kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, wanita dipercayai ibu kanak-kanak terbabit terus menarik kanak-kanak berkenaan daripada lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya menerima laporan dibuat ibu mangsa yang juga guru berusia 32 tahun berhubung kejadian itu.

“Menurut wanita terbabit, dia bersama dua anak perempuannya menghadiri kelas agama di masjid berkenaan kira-kira 8 pagi. Ketika wanita itu sedang mendengar tazkirah di dalam masjid, seorang daripada anaknya berusia tujuh tahun keluar untuk mencuci tangan.

“Bagaimanapun, seorang lelaki memegang dan cuba mengangkat mangsa. Namun, wanita terbabit yang melihat insiden itu terus bergegas keluar dan menarik anaknya masuk ke dalam masjid, manakala suspek masih berlegar-legar di perkarangan masjid beberapa minit kemudian sebelum beredar,” katanya dalam satu kenyataan, di Gombak, hari ini.

Samsor berkata, berdasarkan keterangan wanita terbabit, lelaki itu dipercayai kurang siuman.

“Menurut setiausaha masjid berkenaan, Mohd Nur Afzan Ab Wahab, dia tidak menyedari kejadian itu. Namun selepas melihat rakaman CCTV, dia mengenali suspek .

“Suspek juga dipercayai kurang siuman kerana sentiasa bercakap sendiri. Malah, lelaki itu kerap datang ke masjid terbabit untuk menunaikan solat,” katanya.

Katanya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan bagi mengetahui fakta sebenar kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 3:59 PM
 RAKAMAN CCTV memaparkan seorang lelaki merangkul kanak-kanak perempuan di perkarangan sebuah masjid di Taman Seri Melati, Selayang, Gombak, kelmarin, yang tukar di media sosial, hari ini. FOTO Tular
RAKAMAN CCTV memaparkan seorang lelaki merangkul kanak-kanak perempuan di perkarangan sebuah masjid di Taman Seri Melati, Selayang, Gombak, kelmarin, yang tukar di media sosial, hari ini. FOTO Tular