Siraj Mohd Zaini

PEKERJA restoran di Seksyen 19, Shah Alam, ditahan polis selepas didakwa mencabul budak lelaki di dalam tandas restoran berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, kanak-kanak berusia tujuh tahun bersama adik-beradik serta ibunya sedang makan di restoran terbabit.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mangsa pergi untuk membasuh tangan di sinki.

“Menurut mangsa, semasa sedang basuh tangan di sinki, suspek menarik tangannya masuk ke dalam sambil mengatakan ‘masuklah’ sebelum mencabul budak itu.

“Suspek keluar dari tandas berkenaan kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian menceritakan kejadian kepada ibunya.

Katanya, bapa mangsa kemudiannya bergegas ke restoran dan mendapati kanak-kanak itu dalam keadaan takut dan menangis.

“Susulan itu, suspek yang juga warga India berusia 23 tahun ditangkap dan direman sehiingga 14 Ogos ini.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 2:08 PM