FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru : Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, cedera di bahagian kepala dan tangan akibat dicederakan wanita kurang siuman menggunakan garpu di Taman Mount Austin, di sini, semalam.

Dalam kejadian 8 pagi itu, kanak-kanak terbabit dipercayai berada di luar bangunan pusat tuisyen di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu susulan laporan dibuat bapa mangsa.

"Semasa berada Taman Mount Austin, di sini, pengadu memaklumkan anak perempuannya berumur tujuh tahun didatangi seorang wanita yang disyaki kurang siuman.

"Wanita itu sudah cucuk anak perempuan pengadu menggunakan garpu sehingga menyebabkan cedera pada bahagian kepala dan tangan. Kemudian, suspek melarikan diri.

"Suspek yang tidak dikenali itu dipercayai kurang waras. Polis sedang mencari suspek yang masih belum dikesan ketika ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 8:45 AM