FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Pekerja kedai serbaneka warga asing ditahan polis hari ini selepas dipercayai melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan lapan tahun kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki 33 tahun itu ditahan jam 1.20 pagi di tempat kerjanya di Ulu Tiram, di sini.

Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa berumur 42 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pada jam 10.33 malam, semalam.

"Wanita terbabit mendakwa ketika anak perempuannya berada di kedai serbaneka terbabit, mangsa didatangi suspek yang juga pekerja kedai itu.

"Lelaki berkenaan memegang bahu dan meraba bahagian perut mangsa dalam kejadian jam 7.50 petang kelmarin.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kes mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 3:29 PM