GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siraj Mohd Zaini


TIADA kejadian culik di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam seperti yang ditularkan di media sosial Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ia sebenarnya hanya salah faham membabitkan ibu kanak-kanak lelaki autisme berusia lima tahun selepas melihat seorang lelaki memegang tangan anaknya di perkarangan masjid itu.

Menurutnya, polis menerima laporan polis daripada wanita berusia 31 tahun itu yang mendakwa anaknya dilihat bersama seorang lelaki pada 8.25 malam ketika mahu pulang ke rumah dari masjid terbabit.

“Wanita itu mendakwa lelaki itu memakai baju kelabu, seluar hitam serta rantai leher memegang tangan anaknya selain turut mendengar lelaki itu menyebut ‘eh, comelnya’.

“Apabila melihat ibunya, kanak-kanak yang tidak boleh bercakap itu menuju ke arah ibunya. Lelaki berkenaan pula hanya melemparkan senyuman kepada ibu kanak-kanak itu.

“Bagaimanapun, ibu kanak-kanak itu mengesyaki suspek cuba menculik anaknya berikutan tindakan suspek yang dilihat tergesa-gesa,” katanya hari ini.

Baharudin berkata, berdasarkan keterangan ibu kanak-kanak itu, dia mengesahkan lelaki terbabit tidak menekup mulut anaknya dan hanya bermain pipi saja.

Beliau berkata, wanita itu juga tidak dapat mengecam muka lelaki berkenaan selain kamera litar tertutup (CCTV) masjid tidak berfungsi sejak beberapa tahun lalu.

“Siasatan polis juga mendapati wanita itu berbuka setiap hari di masjid dan pulang sebelum Isyak sementara suaminya bekerja sebagai pemandu Grab.

“Kenyataan wanita itu juga dilihat meragukan namun polis tetap meneruskan siasatan terhadap kejadian berkenaan,” katanya.

Ahad lalu, seorang pemilik akaun Facebook iaitu bapa suadara kanak-kanak itu memuat naik status di laman sosial terbabit mengenai insiden cubaan culik di masjid berkenaan sehingga tular.

Status itu turut meminta orang awam supaya berhati-hati dengan kejadian yang menimpa anak saudaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 12:32 PM