Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pemegang konsensi bagi projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Kumpulan Syarikat PROLINTAS (PROLINTAS) menafikan kemalangan membabitkan Proton Saga di Taman Bukit Cheras semalam, mempunyai kaitan dengan projek SUKE.

PROLINTAS dalam satu kenyataan berkata, polis sudah mengeluarkan kenyataan insiden ini diklasifikasikan sebagai kejadian langgar lari.

Menurutnya, PROLINTAS meminta kepada warganet untuk menghentikan penyebaran maklumat yang tidak benar yang mengaitkan insiden ini dengan projek SUKE dan menunggu kenyataan rasmi pihak berkuasa sebelum membuat komen, berkongsi dan membuat kenyataan di mana-mana media sosial.

"Bagaimanapun, SUKE ingin menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa kemalangan terbabit.

"Untuk mendapatkan maklumat terkini atau maklum balas, sila berhubung dengan komunikasi SUKE di talian hotline, 1 300 88 9922 .

Harian Metro melaporkan kereta Proton Saga yang remuk di bahagian bumbung dalam kejadian di Taman Len Seng, Cheras di sini, malam tadi, dipercayai berpunca daripada pencangkuk kren yang melanggarnya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu 8.30 malam.

Menurutnya, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 55 tahun dari arah Cheras dengan sebuah kenderaan dipercayai kren.

Berita berkaitan

Kena pencangkuk kren rupanya


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 9:06 AM