LAPORAN eksklusif Harian Metro
LAPORAN eksklusif Harian Metro
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Faktor harga susu formula untuk pejuang kanser yang semakin mahal menyebabkan, ramai pesakit terpaksa mengambilnya secara berselang-seli dengan susu biasa kerana tidak berkemampuan.

Bahkan, ada antara keluarga pesakit terpaksa bergolok gadai dan berjimat cermat demi menampung kos perbelanjaan keperluan insan tersayang yang diuji dengan penyakit itu.

Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser (KIDS) Hamidah Tajudin berkata, daripada kira-kira 1,000 pesakit yang bernaung di bawah mereka, kebanyakannya datang dari keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, susu formula berkenaan menjadi keperluan utama kerana pesakit kanser tidak berselera atau tidak boleh menjamah makanan pejal selepas menjalani rawatan kemoterapi mahupun radioterapi.

"Memang selepas menjalani rawatan, biasanya mereka tidak lalu makan jadi susu khas itu satu-satunya pilihan bagi menggantikan makanan dan terbaik yang disyorkan doktor.

"Tetapi, harga susu khas yang semakin mahal amat membebankan pesakit dan keluarga mereka hingga ada kes terpaksa minum susu biasa untuk kelangsungan, malah kalau gaji beribu sekalipun tidak mampu.

"Ini kerana bukan cuma harga susu saja yang merunsingkan, mereka juga menanggung perbelanjaan lain termasuk pengangkutan berulang ke hospital, lampin pakai buang dan keperluan lain," katanya kepada Harian Metro.

Hamidah berkata, sudah tiba masanya kerajaan meneliti isu ini dengan menawarkan penyelesaian terbaik bagi meringankan beban pesakit dan keluarga mereka.

"Kami sangat mengalu-alukan jika boleh kerajaan menyediakan baucar atau subsidi dalam meringankan beban golongan ini membeli susu khas itu jika tidak sepenuhnya sebahagian kos pun sudah memadai.

"Buat masa ini, KIDS juga cuba membantu apa yang boleh dengan bergerak mencari dana sendiri bagi mengagihkan bantuan susu dan lampin pakai buang kepada pesakit di wad Hospital Tuanku Azizah mahupun pesakit memerlukan di luar," katanya.

Sementara itu, ibu kepada pejuang kanser, Hazleinawati Mat Hussin, 38, berkata, mereka sekeluarga terpaksa bergolok gadai demi memastikan anak sulungnya, Muhammad Haziq Abdul Hatab, 15, mendapatkan rawatan terbaik.

"Dulu saya bekerja dengan pendapatan RM4,000 sebulan tetapi sejak Haziq didiagnos dengan Acute myeloid Leukimia (AML) Februari lalu, saya berhenti kerja untuk fokus rawatan dia.

"Sejak itu suami seorang saja yang bekerja membayar semua komitmen hingga bil utiliti, sewa rumah dan kereta banyak tertunggak yang kini tunggu masa bank tarik saja.

"Dengan Haziq sakit dan dua adiknya masih bersekolah, saya mulanya agak tertekan walaupun habis semua barangan kemas dijual, masih tak dapat tampung perbelanjaan bulanan kami," katanya.

Katanya, perbelanjaan untuk Muhammad Haziq saja mencecah RM2,000 sebulan tidak termasuk dua lagi anak bersekolah.

"Dalam sebulan dia menjalani lima hari rawatan kemoterapi di hospital dan kesannya tidak boleh jamah makanan sampai tiga minggu jadi memang susu khas itulah diminumnya sebagai pengganti makanan utama jika tidak berat badannya susut dan hilang nutrisi.

"Tetapi, dengan harga susu semakin mahal sekarang, jujurnya kami tak mampu lagi tetapi nasib baik KIDS juga ada memberikan bantuan susu sebulan sekali, jadi ringanlah sedikit beban kami.

"Saya harap sangat kerajaan bantulah dan kalau boleh kawal harga susu itu kerana ia memang keperluan utama pesakit kanser, malah saya tengok setiap hari ada saja pesakit baru masuk dalam wad," katanya kini semakin positif dan fokus untuk rawatan anaknya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, harga susu formula khas yang menjadi 'talian hayat' pejuang kanser meneruskan hidup, semakin meningkat sejak Disember lalu sekali gus membebankan golongan itu.

Susu itu yang dulunya dijual pada harga RM78 meningkat secara berperingkat bermula RM80, RM82, RM88, RM90 sebelum mencecah RM94.

Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mahu berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya pesakit dibenarkan membeli susu formula itu di hospital kerajaan dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 12:55 PM