VAN buruk diletakkan di sekitar pasar ditunda dengan trak penunda DBKL.
VAN buruk diletakkan di sekitar pasar ditunda dengan trak penunda DBKL.

Yusmizal Dolah Aling

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menunda deretan kereta milik peniaga Rohingya dan Myanmar di sekitar Pasar Harian Selayang, di sini, yang digunakan mereka sebagai stor menyimpan sayur-sayuran, Rabu lalu.

Tindakan itu menjadikan kawasan yang penuh kenderaan terbiar terbabit lengang, malah lalu lintas jalan utama tidak lagi sesak seperti sebelum ini.

Namun masih ada saki-baki peniaga berdegil apabila dikesan tetap meneruskan urus niaga di bahu jalan di lokasi berkenaan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL Azman Mahmood berkata, dalam operasi itu, pihaknya menunda 20 kenderaan yang dijadikan ‘peti sejuk’ menyimpan stok sayur.

Beliau berkata, semua kenderaan ditunda ke depoh DBKL di Taman Connought, di sini, kerana mengganggu lalu lintas selain khemah kekal dipasang turut dirobohkan berikutan didirikan tanpa kebenaran.

“Kami berterima kasih kepada orang awam kerana menyalurkan maklumat dan susulan itu, DBKL terus bertindak. Saya difahamkan kawasan ini tidak ‘diusik’ sejak hampir 20 tahun lalu sehingga orang tempatan pun bimbang berurusan di sini.

“Semakan mendapati mereka ini sudah lama berniaga tanpa kebenaran dan mendapatkan bekalan daripada rakan bekerja di ladang sayur di Cameron Highlands, Pahang dengan modal pusingan RM100,000.

“Pegawai DBKL dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia akan diletakkan di kawasan ini untuk memantau aktiviti peniaga warga asing terbabit,” katanya.

Rabu lalu, Harian Metro melaporkan tindakan segelintir peniaga warga asing dan pelarian Rohingya yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di kawasan letak kereta dan kaki lima Pasar Harian Selayang.

Peniaga berkenaan menggunakan deretan kenderaan terbiar di sekitar Pasar Harian Selayang sebagai stor menyimpan sayur-sayuran sebelum dijual.

Perbuatan itu terbongkar selepas Jabatan Penguatkuasaan DBKL menjalankan operasi bagi membanteras aktiviti perniagaan tanpa lesen di kawasan pasar terbabit sejak dua minggu lalu.

Azman berkata, penjaja berkenaan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 46 (1) D kesalahan letak di tempat awam serta Undang-Undang Kecil 3 (1) bertindak sebagai penjaja tanpa lesen dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan perkara itu.

“Seperti saya jelaskan sebelum ini, DBKL juga faham status mereka. Mana-mana yang berstatus pelarian, tidak boleh bekerja, jadi kami ambil inisiatif bekerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian.

“Kerjasama itu bertujuan melatih pelarian Rohingya di Pusat Latihan Khidmat Negara bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan budaya hidup masyarakat Malaysia.

“Menerusi hasil pengisian itu, kami harap mereka dapat fikir inisiatif untuk mencari pendapatan tetapi bukan dengan cara yang melanggar peraturan negara,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini mungkin penguatkuasaan agak longgar namun DBKL kini akan lebih bertegas dalam hal berkenaan.

“Selepas ini kami akan memastikan tidak ada lagi khemah kekal didirikan tanpa kebenaran atau kereta buruk dijadikan stor sayur-sayuran.

“Dua perkara itu menyebabkan gangguan lalu lintas selain memberikan gambaran negatif terhadap imej kawasan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 8:34 AM