MOHD Nasir menunjukkan murtabak yang djual dengan harga RM2 di Kampung Panji Alam. FOTO Ghazali Kori
MOHD Nasir menunjukkan murtabak yang djual dengan harga RM2 di Kampung Panji Alam. FOTO Ghazali Kori
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Muroh terlajok! Itu ungkapan kerap diucap pelanggan yang berkunjung ke Kedai Murtabak Panji Alam di sini, sekali gus menjelaskan harga makanan dan minumannya terlalu murah.

Murtabak daging dan ayam di kedai itu dijual pada RM2 sebiji berbanding kebiasaannya RM3.50 sebiji manakala, air teh O pula 40 sen secawan, iaitu 60 sen lebih murah dibandingkan kedai lain.

Pemilik kedai itu, Mohd Nasir Jambol, 53, dari Kampung Kuala Ibai, berkata, dia sudah membuka kedai makan itu sejak 2005 dan tidak pernah menaikkan harga.

“Sejak mula berniaga saya tetapkan harga teh O panas 40 sen dan ia kekal hingga sekarang walaupun banyak barang yang naik harga.

“Cuma harga makanan dinaikkan sedikit, tetapi masih pada harga rendah berbanding tempat lain kerana saya dan isteri, Norehan Ngah, 47, sudah sepakat bahawa kami berniaga sambil beramal, bukan nak untung semata-mata.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kesungguhan, kedai makan kami tetap menjadi pilihan pelanggan, biarpun keuntungan tidak seberapa,” katanya.

MOHD Nasir bersama  Nor Rehan  menghasilkan Murtabak yang djual dengan harga RM2.00. FOTO Ghazali Kori
MOHD Nasir bersama Nor Rehan menghasilkan Murtabak yang djual dengan harga RM2.00. FOTO Ghazali Kori

Mohd Nasir berkata, kepuasan berniaga baginya bukan terletak pada keuntungan semata-mata, tetapi juga kepuasan melihat kegembiraan pelanggan menjamah makanan yang sedap dengan harga dikenakan rendah.

Selain murtabak, dia juga menjual pelbagai jenis roti canai yang berharga 70 sen untuk roti kosong dan RM1.40 untuk roti telur.

“Saya tidak pasti jika masih ada atau tidak peniaga lain menjual roti canai kosong pada harga 70 sen, sedangkan harga semasa negeri ini RM1.

“Saya terus kekalkan harga ini walaupun untung tidak tinggi mana,” katanya yang berniaga mulai jam 4 petang hingga 10 malam.

Norehan pula berkata, dia dan suaminya menyediakan 20 kilogram tepung untuk roti canai dan murtabak setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 10:19 AM