FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Setakat ini kami tak mahu menaikkan harga roti canai sebab nak 'jaga' pelanggan tetap selain menarik kedatangan pelanggan baru," kata peniaga Muhammad Ali Maidin, 70.

Muhammad Ali yang ditemui di kedai roti canainya di Subang Jaya, di sini, berkata dia memilih untuk menyerap kenaikan harga tepung gandum di pasaran dengan mengekalkan harga roti canai.

Menurutnya, jika kebanyakan kedai roti canai lain menaikkan harga roti kosong antara RM1.20 hingga RM1.40 sekeping daripada harga asal RM1, tetapi dia tetap menjual RM1 sekeping.

"Sudah tentulah ada kesannya kepada perniagaan saya berbanding peniaga lain yang lebih mendapat pulangan berbaloi.

"Namun, saya tidak mahu pelanggan yang sudah biasa makan di sini beralih ke kedai lain. Sebaliknya, pelanggan tetap memilih makan di kedai saya dengan harga makanan yang tidak dinaikkan," katanya.

Tindakan sama juga dilakukan peniaga kuih-muih, Tarmizi Abdul Wahab, 57, apabila mengambil langkah berhati-hati dengan masih mengekalkan harga kuih 50 sen sebiji.

Tarmizi yang berniaga di Flat PKNS Shah Alam menjual kuih-muih antaranya karipap, kuih puteri ayu, pau dan donat pada harga lama.

Semalam, tinjauan Harian Metro di beberapa kedai runcit di Kajang mendapati kenaikan harga barang keperluan asas sudah berlaku sejak beberapa minggu lalu dipercayai akibat konflik Rusia-Ukraine kerana beberapa barangan komoditi asas diperoleh dari negara berkenaan.

Peniaga barangan runcit yang mahu dikenali sebagai Amir dilaporkan berkata, harga barangan seperti tepung gandum, makanan bertin dan mi segera antara yang naik sejak dua minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 3:43 PM