MOHD Halimin menyediakan hidangan roti canai dan murtabak di Felda Chini 5. FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHD Halimin menyediakan hidangan roti canai dan murtabak di Felda Chini 5. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dilihat memberi rezeki berganda kepada peniaga roti canai dan murtabak, apabila jualan menu itu bertambah hingga 100 peratus.

Peniaga gerai makan di Felda Chini 5, Khaziah Mohd Yunos, 52, berkata sebelum PRK, dia hanya menyediakan kira-kira 12 kilogram (kg) tepung gandum bagi menghasilkan 200 roti canai setiap hari.

Namun, sejak Isnin lalu, dia terpaksa menyediakan 18 hingga 20 kg tepung gandum setiap hari bagi menghasilkan 400 roti canai.

"Pada musim PRK kali ini dapatlah untung lebih sikit berbanding hari biasa, sebelum ini saya mampu menjual 200 keping kini bertambah 100 peratus (400 roti canai), manakala murtabak pula daripada 20 kepada 60 sehari.

"Alhamdulillah inilah rezeki, sebelum ini saya terpaksa berehat lebih tiga bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ," katanya, hari ini.

Menurutnya, selain roti canai dan murtabak dia turut menyediakan pelbagai hidangan lain seperti nasi lemak, soto, nasi dagang dan mi goreng.

Khaziah yang berniaga sejak lapan tahun lalu berkata, sudah menjadi kebiasaan jualan makanan laris apabila berlakunya pilihan raya di kawasan luar bandar dan kali giliran peniaga di Felda Chini.

Katanya, peluang itu digunakan sepenuhnya oleh golongan peniaga untuk menambah pendapatan, namun itu tidak bermakna mereka mengambil kesempatan dengan cara salah seperti menaikkan harga.

"Sebelum ini, saya berniaga di Bandar Dara, Chini namun kini kedai terletak bersebelahan dengan rumah saja.

"Di mana juga lokasi perniagaan pelanggan tetap ramai, hari ini Calon Barisan Nasional (BN) dan pengikutnya turut datang ke gerai saya sambil menikmati makanan," katanya yang dibantu suami Mohd Halimin Daud, 52.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, purata pendapatan yang diraih setiap hari sejak kempen PKR dianggarkan sekitar RM800 berbanding hanya RM500 sebelum ini.

Katanya, berniaga pada musim pilihan raya meriah apabila pelanggan sentiasa datang, selain masyarakat setempat tidak kurang juga pihak luar yang datang ke Felda Chini untuk berkempen dan sebagainya.

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 4:34 PM