MADI sibuk mengoreng roti canai di kedainya.
MADI sibuk mengoreng roti canai di kedainya.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Sesetengah orang mungkin tidak percaya ada harga roti canai serendah 50 sen sekeping terutamanya di tengah-tengah bandar raya ini, tetapi bagi Madi Umar, 53, dia masih mengekalkan harga makanan berkenaan serendah itu sejak 20 tahun lalu tanpa mengubah saiz dan rasa.

Madi berkata, walaupun tidak mendapat untung banyak, hasil jualannya itu masih mampu menanggung keluarganya termasuk isteri Tuti Warni Nadar, 48, bersama tiga anak mereka berusia 13 dan 24 tahun.

Menurut Madi, niatnya hanya satu iaitu ingin mendapat saham akhirat sambil berniaga kerana baginya itu saja amal jariah yang boleh dilakukan bagi memastikan pelanggan boleh mengalas perut sebelum memulakan tugas masing-masing pada pagi hari.

“Saya mula berniaga menebar roti canai 20 tahun lalu dan ketika itu saya mengusahakan warung di Batu 6 Jalan Skudai sebelum berpindah ke tapak kedai Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) 10 tahun lalu dengan sewa serendah RM150 sebulan.

“Saya belajar membuat roti canai hasil daripada pengalaman sebagai pembantu kedai di merata tempat termasuk di Singapura dan sekitar bandar raya ini.

“Ilmu yang ditimba dijadikan bekalan untuk saya mengusahakan sendiri perniagaan warung kecil-kecilan.

“Niat saya apabila menjual roti canai dengan harga yang sama seperti 20 tahun dulu cuma satu inilah cara saya untuk membuat amal jariah kerana keuntungan saya peroleh jauh lebih besar daripada itu apabila mendapat perasaan tenang dan lapang selain keberkatan dalam kehidupan,” katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Sri Perkasa 1/1 Taman Tampoi Utama, di sini.

Anak jati FELDA Taib Andak di Kulaijaya itu berkata, dia juga bersyukur kerana sewa kedai masih rendah, sekali gus membolehkannya mengekalkan harga jualan selain memberitahu dia boleh menjual hingga 600 keping roti canai ketika Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:12 AM