MIRA Filzah. FOTO Hasif Fikri
MIRA Filzah. FOTO Hasif Fikri
Sudirman Mohd Tahir

Nama pelakon cantik Mira Filzah tidak perlu diperkenalkan lagi. Populariti dicipta Mira sejak beberapa tahun kebelakangan ini melayakkannya untuk berada pada tahap sekarang.

Lebih membanggakan Mira, 25, atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezman apabila memenangi pelbagai anugerah. Ia sekali gus meletakkan Mira antara pelakon wanita yang berada dalam kelas tersendiri.

Menyelusuri kerjaya lakonannya, Mira yang mencipta nama menerusi drama Cinta Si Wedding Planner turut dilihat antara pelakon wanita yang mudah mencipta keserasian dengan pasangan lakonannya.

Walaupun terdapat segelintir pelakon memilih hero, tidak bagi Mira kerana kejayaan sesebuah karya terletak pada keseluruhan karya itu.

Mira berkata, tidak ada sebab untuk dia memilih atau meletakkan syarat siapa hero sesuai jika ingin berlakon dengannya.

“Bagi saya, setiap pelakon ada cara kerja tersendiri. Itu hak mereka jika nak memilih pasangan untuk digandingkan sebagai hero dan heroin. Ia menyeluruh termasuk jalan cerita, skrip, pengarah, pasukan dan pelakon.

“Dari awal sampai sekarang, saya tidak pernah ‘demand’ nak berlakon dengan sesiapa. Siapa saya untuk buat pilihan dan syarat sebegitu. Saya okey dan terbuka dengan sesiapa saja. Apa yang penting adalah profesional dan keserasian.

“Lagi satu, kejayaan sesebuah drama atau karya itu tidak terletak kepada pelakon semata-mata. Banyak faktor mempengaruhi perkara ini. Saya tidak pernah menganggap kejayaan drama lakonan saya disebabkan saya sendiri. Justeru, paling penting adalah kerjasama dalam pasukan,” katanya.

Menurut Mira yang juga pengacara program Nona di TV3, dia juga tidak kisah bergandingan dengan pelawak, Zizan Razak walaupun dikatakan hangat bercinta.

Mira berkata, jika naskhah itu sesuai buat dirinya, tidak salah untuk muncul atau bergandingan sebagai pasangan Zizan.

“Macam dikatakan tadi, saya okey dengan sesiapa termasuk Zizan. Tidak ada masalah pun. Sebelum ini kami pernah berlakon dalam telefilem Jula Juli.

“Baru-baru ini difahamkan cerita itu ingin diadaptasi kepada drama bersiri pula. Namun, segalanya masih dalam perbincangan,” katanya.

MIRA Filzah. FOTO Hasif Fikri
MIRA Filzah. FOTO Hasif Fikri

Serasi dengan Remy Ishak

Bercerita mengenai keserasian dalam lakonan, terbaru Mira digandingkan sekali lagi dengan Remy Ishak dalam drama 18 episod, Lelaki Kiriman Tuhan.

Sebelum ini, Mira dan Remy dipertemukan dalam dua filem iaitu Rise: Ini Kalilah dan Sangkar bagi tayangan tahun depan.

“Menerusi filem itu, kami tidak banyak babak bersama. Namun, dalam drama ini kami betul-betul berlakon sebagai pasangan kekasih dan suami isteri. Diakui, minggu pertama penggambaran adalah tempoh untuk saya mengenali karakter watak dan peribadi Remy.

“Masuk minggu kedua, saya sudah boleh baca rentak Remy. Jadi, segala-galanya berjalan lancar. Alhamdulillah, sepanjang dua bulan penggambaran memang seronok dapat bekerjasama dengan Remy. Pendek kata dia seorang yang mudah dan menyenangkan.

“Insya-Allah, bulan ini saya sekali lagi bakal bergandingan dengan Remy dalam drama yang bakal ditayangkan di slot Akasia, TV3. Selain kerjasama dengan Remy, pelakon lain juga bagus walaupun kebanyakan daripada mereka pelakon baru,” katanya.

Mengenai drama terbitan Zeel Productions Sdn Bhd itu, Mira akui berdepan cabaran apabila terpaksa berulang-alik dari Kedah ke Kuala Lumpur kerana terikat dengan penggambaran Nona.

“Memandangkan drama ini menjalani penggambaran di sekitar Alor Setar dan Langkawi, jadi setiap minggu saya kena ulang-alik ke Kuala Lumpur. Saya perlu lunaskan tanggungjawab sebagai pengacara Nona.

“Sejujurnya, ia memenatkan tetapi saya puas. Malah, ini antara projek drama yang menguji dari segi fizikal. Jadi, untuk menambah tenaga, saya mengamalkan pengambilan vitamin C.

“Berbaloi buat drama ini kerana ia adaptasi daripada novel yang cukup bagus selain pengarahnya iaitu Rashid Sibir,” katanya yang kekal menjadi pengacara Nona untuk tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 9:35 AM