MIRA selesa berkawan jejaka berusia kerana lebih matang.
MIRA selesa berkawan jejaka berusia kerana lebih matang.
Sudirman Mohd Tahir


GANDINGAN pelakon cantik manis Mira Filzah bersama hero Malaya, Remy Ishak dalam drama Pujaan Hati Kanda (PHK) dan Lelaki Kiriman Tuhan (LKT) meninggalkan kesan kepada penonton dan peminat mereka.

Disebabkan keserasian yang wujud antara mereka, ramai menginginkan Mira dan Remy bersama sebagai pasangan kekasih. Malangnya, ketika itu Remy bergelar tunangan orang.

Namun, selepas Remy mengesahkan putus tunang, peminat sekali lagi meletakkan harapan tinggi untuk melihat mereka bersatu.

Bagaimanapun, Mira, 26, atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman menganggap ia perkara biasa yang berlaku dalam industri terutama membabitkan hero dan heroin yang masih solo.

“Bagi saya, ia normal jika peminat nak hero dan heroin bercinta. Melainkan kalau hero atau heroin sudah berkahwin, lain pula penerimaannya.

“Selagi masing-masing solo, peminat akan cuba merealisasikan impian mereka,” katanya.

Mira mengakui dirinya turut terkena tempias selepas Remy berkongsi dirinya bukan lagi tunangan orang kepada umum.

“Komen dalam Instagram Remy saya tak baca. Mungkin itu bahagiannya. Sebab lebih berat ke arah dia.

“Saya mungkin terkena tempias sikit sebab baru habis berlakon dengannya. Kebetulan drama PHK dan LKT mendapat sambutan dan ditayangkan serentak,” katanya.

Mira berkongsi, dia dan Remy akan bergandingan lagi menerusi telefilem Pujaan Hati Kanda Raya yang bakal memulakan penggambaran awal Ramadan ini.

Menurut Mira, tidak wujud soal takut atau rimas kerana masing-masing profesional dalam bekerja.

“Saya tidak risau berlakon lagi dengan Remy kerana ini kesinambungan drama sebelumnya. Lagi pula ia telefilem saja.

“Soal rimas, tak fikir pun. Saya tahu apa yang betul malah hingga sekarang kami hanya rakan sekerja. Jumpa dia pun di lokasi penggambaran dan majlis anugerah.

“Tidak ada perjumpaan kasual di luar seperti bersembang atau minum kopi. Kalau setakat gosip yang keluar, kami lebih tahu cerita sebenar,” katanya.

Remy ‘gila-gila’

Ditanya mengenai pandangan peribadinya terhadap Remy, Mira berkata, pelakon Nur Kasih itu seorang yang tegas dan pada masa sama ‘gila-gila’.

“Sepanjang bekerjsama, dia okey. Namun, dia tegas orangnya. Ada ketika dia gila-gila juga.

“Cuma, sepanjang kami bekerjasama dia sangat membantu. Kita tahu dia pelakon yang baik. Pendek kata, seronok berlakon dengannya,” katanya.

Diberi pilihan di antara Remy dan Zizan Razak, Mira sekali lagi menegaskan dia tidak menjalin hubungan dengan sesiapa.

“Zizan atau Remy, kalau boleh cukup setakat ini soalan sebegini. Saya pernah cakap banyak kali, saya bukan kekasih sesiapa.

“Buat masa sekarang hati saya belum dimiliki. Setakat jadi bahan usikan okey tetapi untuk kaitkan menjadi realiti, tidak ada,” katanya.

Menyentuh perihal lelaki idaman, Mira berkata dia selesa berkawan dengan jejaka berusia kerana lebih matang.

“Saya sukakan lelaki berusia. Saya jarang berkawan dengan lelaki muda atau sebaya. Kebanyakan yang saya berkawan memang sudah berumur sedikit. Tak pasti kalau ia kebetulan.

“Mungkin lelaki berusia lebih matang. Lagipun, dalam perhubungan kita mahukan hubungan yang stabil, faham kerjaya dan masa.

“Selain itu, dia mesti ada ilmu agama. Sebab itu, saya nak seseorang yang lebih daripada saya. Biar dia ajar kita, bukan sebaliknya,” katanya.

Diusik bilakah dia akan menamatkan zaman solo, Mira mengakui belum memikirkan perkara itu.

“Tahun ini tak nampak lagi akan ke jenjang pelamin. Memang tidak ada,” katanya ringkas.

Rezeki menjadi duta

Jika dua tahun lalu Mira dilantik menjadi Ikon Ariani sempena Aidilfitri, rezeki Mira tahun ini apabila dia dilantik

menjadi duta.

“Dua tahun sebelum ini saya dilantik sebagai Ikon Ariani Raya saja. Jadi, durasi kontrak pendek saja. Namun, tahun ini saya dilantik menjadi duta. Ia menuntut komitmen yang tinggi.

“Alhamdulillah, ini semua rezeki. Selagi orang nak, saya okey. Kepercayaan diberikan satu penghormatan buat saya.

“Selain itu, saya juga menjadi duta Setulus Ikhlas program Ramadan Raya TV3. Saya akan terbabit dalam beberapa program anjuran mereka termasuk aktiviti amal dan khidmat masyarakat,” katanya.

Selain terbabit dalam telefilem raya PHK Raya, Mira berasa lega apabila sepanjang Ramadan nanti dia tidak sibuk di lokasi penggambaran.

“Tahun lepas kerja bulan puasa. Apabila nak raya baru rehat. Kiranya tahun ini tak berat sangat dan semuanya baik-baik saja.

“Setakat ini hanya ada satu projek telefilem. Selebihnya menghadiri majlis berbuka puasa.

“Macam program Nona pun, kita sudah buat rakaman awal. Jadi, sepanjang puasa tidak ada penggambaran Nona,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 6:30 AM