MIRA Filzah. FOTO Saddam Yusoff
MIRA Filzah. FOTO Saddam Yusoff
Ramlah Zainal


Namanya mula dikenali ramai menerusi drama bersiri Cinta Si Wedding Planner bergandingan dengan Adi Putra untuk Slot Akasia di TV3 pada 2016.

Kini, Mira Filzah, 25, turut dikenali sebagai pengacara program Nona.

Sejak itu, Mira berasakan bidang lakonan dan pengacaraan memiliki kepuasan yang berbeza sebagai anak seni.

“Saya juga meminati bidang lakonan sama seperti pengacaraan sejak dulu. Walaupun sekarang sibuk dengan pengacaraan, saya tetap memenuhi undangan berlakon apabila ada kelapangan,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman ini mengakui dia rindu untuk kembali menyemarakkan bidang lakonan.

“Saya sudah lama tidak berlakon drama kerana fokus pada program Nona ketika ini. Oleh itu, saya sukar menolak tawaran daripada pengarah Michael Ang untuk projek terbarunya iaitu drama bersiri 24 episod bergandingan dengan Uqasha Senrose.

“Saya tertarik kerana watak ditawarkan berbeza daripada sebelum ini. Ia juga bukan cerita adaptasi novel popular.

“Penggambaran drama ini akan berlangsung Ramadan nanti,” katanya.

Mira ditemui pada majlis pelancaran perisa baru 100Plus anggur hitam yang berlangsung di Subang Jaya, baru-baru ini.

Selain sebagai duta 100Plus, Mira juga terbabit dengan projek mini drama 100Plus berjudul Pelangi Cinta.

“Dalam drama mini ini, saya bergandingan dengan barisan pelakon popular seperti Syafik Kyle, Hairul Azreen dan Shukri Yahya.

“Saya seronok berlakon dalam projek ini kerana dapat bekerja dengan pengarah berbakat besar Azma Aizal Yusoof. Ia akan ditayangkan pada Mei depan,” katanya.

MIRA Filzah. FOTO Saddam Yusoff
MIRA Filzah. FOTO Saddam Yusoff

Fokus pada Nona

Sebagai hos baru program Nona di TV3, Mira semakin selesa mengendalikan program itu sejak bersiaran hujung tahun lalu.

“Saya bersyukur apabila pengikut setia Nona mula menerima kehadiran saya. Ia juga menyuntik semangat buat saya untuk terus memberikan yang terbaik apabila rating program ini meningkat sejak saya menjadi mengacarakannya.

“Walaupun rutin harian padat dengan penggambaran, saya tetap puas apabila Nona mendapat maklum balas positif daripada penonton,” katanya.

Mira berkata, dia juga terpaksa menolak beberapa tawaran mengacara kerana fokus pada program Nona ketika ini.

“Buat masa ini, saya mahu memberikan komitmen terbaik pada program Nona terlebih dulu. Saya tidak mahu tamak merebut semua tawaran mengacara dalam satu masa kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen seperti diharapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 3:28 AM