MIRA Filzah. FOTO Mahzir Mat Isa
MIRA Filzah. FOTO Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin

Berjaya mencuri perhatian penonton menerusi drama Eksperimen Cinta sebagai watak pembantu pada 2015, kini nama Mira Filzah semakin kukuh.

Biarpun bakatnya sebagai pelakon sudah dipersembahkan ketika berusia 17 tahun dalam drama Dunia Lola, tuah dan rezeki terus menyirami Mira.

Bersesuaian dengan imejnya yang berhijab, pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman ini dipuja ramai berikutan sikapnya yang santun.

Namun, tatkala namanya di puncak populariti Mira diasak gosip hangat menjalin hubungan cinta dengan pelakon dan pelawak terkenal Zizan Razak.

Mengulas perkara itu, Mira berkata, dengan adanya pengaruh media sosial sukar untuk dirinya mengelak dikaitkan dengan mana-mana individu.

“Tiada gunanya jika terlalu menyembunyikan sesuatu perkara. Ini kerana, sebaik mana pun kita sorok kalau ada pihak yang buka cerita atau ‘menjentik’, ia pasti tersebar juga.

“Jadi, saya lihat gosip perkara biasa bagi anak seni dan selesa ambil pendekatan tidak cepat melenting.

“Jika gosip yang diperkatakan itu tidak betul dan banyak ditokok tambah, maka saya tidak teragak-agak tampil menjelaskan perkara sebenar.

“Buat masa ini, kalau orang mengata sikit-sikit mengenai saya, biarlah,” katanya.

Mira yang mencipta populariti menerusi drama Cinta Si Wedding Planner pada 2016 bagaimanapun enggan terlalu melayan gosip cinta yang menghambat dirinya itu.

Beralih perihal karier lakonan, Mira mengakui bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus sepanjang tahun ini.

“Bermula dengan drama Rahsia Hati Perempuan yang disiarkan Ramadan lalu, saya kemudian terbabit pula dengan penggambaran filem Sangkar arahan Kabir Bhatia.

“Selepas itu saya terikat dengan penggambaran filem Rise: Ini Kalilah arahan bersama tiga pengarah berkaliber iaitu Saw Teong Hin, Nik Amir Mustapha dan MS Prem Nath.

“Selesai projek filem saya sambung pula berlakon drama Lelaki Kiriman Tuhan sebanyak 18 episod dan diikuti drama Pujaan Hati Kanda untuk slot Akasia siaran TV3.

“Rezeki saya tahun ini sangat murah sehingga jadual kerja benar-benar padat,” katanya.

Tambah Mira lagi, hingga kini dia bekerja tanpa henti dan jika diteliti belum ada rehat. Kalau pun diberikan cuti ketika penggambaran drama, ia sekejap saja.

“Cuti singkat itu saya terikat dengan penggambaran program Nona untuk TV3.

“Walaupun tidak cukp rehat ia bukan satu beban kerana saya masuk bidang ini kerana minat. Apatah lagi, saya mahu timba banyak pengalaman dan belajar selok-belok bidang lakonan demi memberikan persembahan terbaik.

“Saya mahu penonton terhibur dan mesej yang ingin disampaikan menerusi lakonan sampai. Begitu juga komitmen sebagai pengacara Nora,” katanya.

MIRA Filzah. FOTO Mahzir Mat Isa
MIRA Filzah. FOTO Mahzir Mat Isa

Mahu terus bersama Nona

Biarpun tugasnya dalam mengemudi program Nona belum tamat satu musim, penerimaan penonton sangat luar biasa.

Pemilihan Mira sebagai pengacara Nona untuk musim 2018 sangat tepat apabila rating program itu menunjukkan peningkatan membanggakan.

Gadis cantik itu bagaimanapun belum berasa puas meski satu musim ada 48 episod untuk dikendalikan.

“Sekalipun sudah berpuluh episod, masih banyak lagi yang perlu saya belajar dari semasa ke semasa untuk memperbaiki segala kelemahan.

“Sepanjang mengendalikan program ini, saya tidak setakat menggalas tanggungjawab sebagai hos, juga menggali maklumat agar apa yang disampaikan itu sarat dengan ilmu untuk panduan penonton,” katanya.

Mira tidak ketinggalan berkongsi harapan agar terus diberi peluang mengacarakan program Nona melebihi dua tahun.

Ujarnya, menjadi pengacara Nona dalam tempoh satu musim atau setahun tidak cukup jika mahu namanya benar-benar melekat di ingatan penonton.

“Bukan apa, kalau buat satu musim saja iaitu sekitar satu setengah tahun belum tentu penonton akan ingat.

“Bagi saya Nona program yang ada aura tersendiri. Ini kerana, sesiapa saja personaliti TV atau selebriti yang pernah mengacara program ini pasti ada kekuatan masing-masing.

“Jadi, saya mahu kekalkan imej sebegitu dan mahu lebih lama mengacarakan Nona. Banyak ilmu dapat saya peroleh menerusi program ini,” katanya.

Mira sempat menitipkan pesanan kepada penyokongnya supaya menonton drama terbaru lakonannya bersama Remi Ishak, Pujaan Hati Kanda yang akan mula bersiaran menerusi TV3 pada 20 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 6:30 AM