Nazirul Roselan


“HENDAK terkencing pun ada apabila harimau liar muncul secara tiba-tiba di depan mata,” kata Shahrul Azwan Abdul Halil menceritakan detik ketika bertembung dengan harimau di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, hari ini.

Shahrul Hazwan, 27, berkata, ketika kejadian 3.45 petang itu, dia dan tiga rakannya, Wan Kamarul Iznan Wan Ahmad Nazri, Wan Iqbal Fikri Wan Ahmad Nazri dan Wan Noriman Syah Wan Mohd Adat dalam perjalanan dari Kuala Tahan ke Kampung Pagi.

Katanya, apabila tiba di Bukit Dedari, tiba-tiba seekor harimau keluar dari hutan berhampiran untuk melintas jalan raya dilalui mereka.

“Kami semua tergamam dan membiarkannya melintas jalan ke hutan di seberang jalan, kami menghentikan kereta dan tidak membunyikan hon kerana bimbang mendatangkan kemarahannya.

“Ini kali pertama saya lihat harimau liar di depan mata secara ‘live’. Walaupun saya membesar di Taman Negara Kuala Tahan, bukan mudah hendak melihatnya kerana kita tidak tahu bila ia akan muncul,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Shahrul Hazwan yang bekerja sebagai juruteknik lanskap di Pesona Village Resort Taman Negara sempat merakam video kelibat harimau itu yang berdurasi satu minit dan memuat naiknya di Facebook miliknya sehingga menjadi tular.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Ahmad Azhar Mohamed berkata, berdasarkan pemerhatiannya harimau itu adalah dari spesies Harimau Belang atau nama saintifiknya, Panthera Tigris.

“Setakat ini saya belum dimaklumkan mengenai penemuan harimau itu dan hanya mengetahuinya menerusi media sosial, memang Taman Negara Kuala Tahan adalah antara habitatnya.

“Kita akan membuat pemantauan di lokasi untuk dua tujuan iaitu bagi memastikan keselamatan orang ramai berikutan kehadiran harimau.

“Satu lagi adalah demi keselamatan harimau itu sendiri yang mungkin menjadi sasaran pemburu haram kerana lokasinya sudah dikenal pasti dan terdedah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 7:09 PM
GAMBAR seekor harimau yang sedang melintas jalan di kawasan Bukit Dedari Jalan Kuala Tahan - Kampung Pagi yang berjaya dirakam Shahrul Azwan Abdul Halil 27 pada 3.45 petang, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
GAMBAR seekor harimau yang sedang melintas jalan di kawasan Bukit Dedari Jalan Kuala Tahan - Kampung Pagi yang berjaya dirakam Shahrul Azwan Abdul Halil 27 pada 3.45 petang, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca