Pelakon, Muaz Zabir ketika ditemui pada Karnival Jom Heboh Edisi Raya di Putrajaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pelakon, Muaz Zabir ketika ditemui pada Karnival Jom Heboh Edisi Raya di Putrajaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Najiy Jefri


Putrajaya: Pelakon Muaz Zabir berang dengan tindakan penyanyi Aliff Aziz yang tidak berhenti mengungkit isu curang membabitkan dirinya dengan Bella Astillah yang sudah mencapai persefahaman tahun lalu.

Muaz ketika ditemui Harian Metro berkata, dia sudah berulang kali memohon maaf dan menganggap penyanyi itu bukan seorang lelaki sejati apabila terus berkongsi isu yang berlaku dalam satu temu bual podcast baru-baru ini.

"Takkan selama ini saya bercakap dengan hantu? Saya memang ada berhubung dan boleh tunjuk dia maki hamun saya selama kami mencapai persefahaman.

"Bagi saya, isu ini sepatutnya sudah lama selesai. Kenapa dia masih tidak puas hati dan tak perlulah nak hebahkan di media sosial. Dia sangat tak 'gentleman'.

"Dia sendiri yang minta saya jangan kecohkan perkara ini hingga kami sudah membuat perjanjian awal supaya hal ini tidak didedahkan kepada orang lain, tapi lain pula yang jadi.

"Saya sudah minta maaf November tahun lalu dan sepatutnya perkara ini tidak patut diungkit," katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama peminat sempena Karnival Jom Heboh di sini, hari ini.

Menurut Muaz, dia mendakwa Aliff mempunyai niat tidak baik terhadapnya dan Bella berdasarkan mesej perbualan WhatsApp antara Aliff dan individu dikenali NRF seperti yang ditularkan oleh pelakon Didi Astillah.

"Kalau dia nak buat laporan polis atau membawa kes ini ke mahkamah mengenai isu saya dan Bella, saya juga ada bukti kami sudah selesaikan perkara ini dengan cara baik.

"Terbaharu menerusi pendedahan Didi kita semua melihat perbualan dia dan NRF mengenai sudah tiada peluru untuk menyelamatkan diri.

"Mereka ada peringkat untuk jatuhkan kami, sudah-sudahlah saya dah minta maaf. Saya pun dah tarik diri daripada kemelut ini. Apa lagi yang dia tak puas hati," katanya.

Dalam pada itu, Muaz menasihatkan Aliff supaya berhenti memburukkan dan mengaitkan lagi namanya dalam isu kontroversi yang berlaku.

"Saya tiada hak untuk cakap apa-apa kepadanya tapi saya harap dia dapat fikir sendiri kerana dia lebih matang.

"Saya doakan yang terbaik untuk dia dan apa jua tindakan yang dibuat saya harap benda itu membawa kebaikan kepadanya.

"Namun jika tindakan anda tiada kebaikan kepada diri sendiri, janganlah pula bawa keburukan kepada orang lain. Saya rasa ini tidak patut," katanya.

Terdahulu Aliff menerusi temu bual podcast yang bersiaran di YouTube menceritakan kembali hubungan yang terjalin antara Bella dan Muaz sehingga isterinya itu berubah sikap.

Malah Aliff mempersoalkan tindakan Muaz yang didakwa mengganggu isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 6:09 PM