RAYER. FOTO Arkib NSTP
RAYER. FOTO Arkib NSTP
Fahmy Azril Rosli


AHLI Parlimen Jelutong, RSN Rayer, menjelaskan istilah 'kepala bapak' yang disebutnya dalam Dewan Rakyat malam tadi, membawa maksud ‘nonsense’ atau mengarut tanpa niat menghina.

Beliau mempertahankan perkataan 'kepala bapak' itu tidak salah kerana ia turut digunakan dalam filem lakonan Tan Sri P Ramlee, Pendekar Bujang Lapok.

Katanya, Datuk Seri Najib Razak (BN-UMNO Pekan) yang juga bekas Perdana Menteri pernah menggunakan perkataan itu.

“Pada kefahaman saya, perkataan 'kepala bapak' itu lazim digunakan dalam bahasa Melayu.

“Kalau kita tengok filem P Ramlee, Pendekar Bujang Lapok, pelakon dalam cerita itu kata 'kepala bapak kau' yang bermaksud 'nonsense' (mengarut).

“Oleh itu, saya tidak rasa itu kenyataan biadab. Kalau biadab, dulu pun Pekan (Najib) pernah guna," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan EXCO Pemuda UMNO, Shahrul Nasrun Kamaruddin, yang mempersoalkan tindakannya di Dewan Rakyat malam tadi dan disifatkan sebagai ‘biadab dan kurang ajar’.

Shahrul Nasrun merujuk tindakan Rayer menggunakan perkataan 'kepala bapak' sehingga diberi amaran oleh Timbalan Speaker, Nga Kor Ming.

Shahrul berkata, kenyataan provokasi seperti itu mencerminkan sikap segelintir Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang bertentangan dengan peranan Dewan Rakyat sebagai tempat membawa isu dan permasalahan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 3:44 PM