OPERASI mencari mangsa di Sungai Pahang dilakukan anggota pasukan penyelamat.
OPERASI mencari mangsa di Sungai Pahang dilakukan anggota pasukan penyelamat.
Amir Hamzah Nordin dan Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Jerantu: “Boy jangan nakal-nakal, jaga mummy (ibu)...nanti daddy (ayah) belikan mainan Ultraman lepas balik kerja.” Itu pesanan terakhir pemandu pelancong, Mohd Hanafiah Latiff, 31, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika melalui kawasan jeram di Jeram Dedari, Kuala Tahan, di sini, kelmarin.

Isteri mangsa, Mazita Mentaib, 31, berkata suaminya meninggalkan pesanan itu kepada anak mereka, Mohd Mansor Mohd Hanafiah, 3, sebelum keluar ke tempat kerja dan ketika itu dia menganggap ia hanya pesanan biasa.

Katanya, pada pagi hari kejadian, dia menghantar suaminya ke Kuala Tahan dan Mohd Hanafiah sempat membeli sarapan untuk mereka sekeluarga.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian oleh rakannya dan tidak putus-putus berdoa supaya dia ditemui selamat walaupun harapan itu tipis,” katanya.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa dipercayai terjatuh ke jeram dari bot dinaikinya bersama 10 pelancong sebelum dihanyutkan arus Sungai Pahang.

Ibu mangsa, Hanipah Othman, 61, berkata anaknya berpesan kepadanya supaya menjenguk-jenguk Mohd Mansor sepanjang dia keluar bekerja.

Pegawai Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut Osman Malek berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.16 petang dan tiba di lokasi jam 7.45 malam.

“Gerakan mencari dan menyelamat disertai 36 anggota bomba, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang ramai menggunakan 11 bot.

“Operasi mencari diperluaskan dari lokasi mangsa jatuh di Jeram Dedari hingga Lubuk Kelembai iaitu hampir dua kilometer dan diteruskan sehingga petang ini (semalam),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:02 AM